Monday, November 26, 2012

akibat tamak - hak harta pusaka



Mata ni tak mengantuk lagi.  Alhamdulillah rezeki malam ni. Bolehlah mengasah bakat menulis sikit. 

Sebelum melelapkan mata, saya teringat kisah mengenai orang tamak.  Langsung tidak berniat untuk mengaibkan, tetapi sekadar ia sebagai peringatan untuk saya.

Di sebuah kampung, tinggallah 2 orang yang berpangkat sepupu.  Memandangkan sepupu A ini baru saja membina rumah dan belum berpindah lagi di situ, halangan atas sebab kerja, jadi, diapun mengamanahkan kepada jirannya, sepupunya sendiri, iaitu, B untuk mengorek parit di sempadan tanah mereka.  

Walaupun, B berpuluh tahun tinggal di situ, paritnya bagaikan tiada.  Bagi menghindar masalah mendatang, A memberi wang dan meminta agar B tolong pantau  parit yang hendak dikorek di sempadan tanah mereka.  

Sebelum tu, mereka berbincang, tapi bincang punya bincang, A terpaksa mengalah untuk mengorek parit di atas tanahnya sendiri memandangkan B berdolak-dalih apabila A mencadangkan parit dikorek di atas tanah mereka berdua.  Kira, sempadan A separuh dan sempadan B separuhla, tapi, B ni taknak kongsi. 

Setelah siap kerja mengorek tanah parit, tiba-tiba pakcik kepada mereka perasan, ada sesuatu yang tak kena.

Jadi, pakcik kepada mereka berdua ini berjumpa B, kenapa tanah yang dikorek di sempadan A itu dilonggokkan di atas tanah B?  Padahal jika diikutkan sepatutnya longgokan tanah A itu, ditimbun di atas tanah A.  Hasilnya, sepanjang parit, lebihan tanah dilonggokkan di tanah B yang sememangnya bukanlah hak B.  

Pakcik merekapun menasihatkan B supaya mengembalikan longgokan tanah A kerana ikut hukum, memang B tiada hak mengambil tanah tersebut.  Bagaimanapun, B memandang sepi di akan nasihat pakcik mereka.  

Rupa-rupanya B sendiri yang menyuruh orang yang mengorek tanah itu melonggokkan tanah A di atas tanahnya.

Biarpun pakcik mereka marah kepada B, B tetap dengan pendiriannya. Malah enggan mendengar nasihat supaya memulangkan tanah A semula.  Malah di sempadan mereka, kawasan tanah B makin tinggi.

A pula malas nak bergaduh.

Allah Maha Berkuasa.  Satu hari B tiba-tiba jatuh sakit.  Entah apa agaknya, perut B membusung.  Apabila ke hospital, doktor tidak dapat mengesan apakah punca  penyakitnya.  Kecuali hasil pemeriksaan,  perutnya penuh dengan air.

Bila pakar perubatan merawat dengan membedah untuk membuang air di perut B, hanya beberapa hari saja perut B kempis.  Kemudian ia kembung kembali.  Sesiapa yang melihat pasti ngeri dengan perut besar macam nak pecah.

Akhirnya B tidak lagi tertanggung sakit, diapun cuba berubat secara alternatif.  Malangnya, tiada perubahan.  Sehinggalah dia bertemu dengan seorang alim. 

Orang alim yang merawat B akhirnya dapat mencari punca penyakit B.  Berdasarkan ilmu agama yang mendalam dia memberitahu kepada B, sakitnya itu adalah perbuatannya sendiri yang mengambil hak tanah orang.  Orang alim tersebut menasihatkan dia agar meminta maaf kepada jirannya dan mengembalikan tanah tersebut kepada tuannya.

B tidak percaya dengan rawatan orang alim tersebut.  Katanya doktor sendiripun tidak dapat mengesan penyakitnya, inikan pula orang alim yang tiba-tiba 'menuduhnya' mengambil tanah orang.

Selepas itu sakit B semakin tenat.  Walaupun beberapa kali pembedahan membuang air dilakukan.  Sakitnya tidak bertambah baik.  

Akhirnya B pulang ke pangkuan Ilahi.

Yang mengharukan, B pernah bergaduh dengan jiran sekeliling sempadan tanahnya.  Malah dia sanggup mencabut tanaman sayuran di atas tanah jirannya dengan alasan, tanaman tersebut menyebabkan tanahnya dipenuhi air.

Pelik, kerana tidak berlaku demikian.  Malah longkang di sempadan jirannya yang lainpun mencetuskan pergaduhan.  Dia bersemuka dengan mengatakan longkang jiran tersebut menyebabkan rumahnya dipenuhi air busuk.  Pelik juga kerana air longkang sedikitpun tidak singgah di rumah B, malah ia menyimpang jauh ke parit besar.

Moralnya, kadang kala kita tidak sedar perbuatan kita yang mengambil hak orang.  Malah, ketamakan kita menyebabkan kita yang menanggung akibatnya.

Oleh itu, saya mengingatkan diri saya sendiri.  Janganlah menggunakan atau mengambil hak orang biar apapun bentuknya tanpa izin.  Mungkin di dunia kita lepas, tetapi di akhirat, macamana pula?

Antara contoh, jika terjumpa RM10 di atas jalan, tak perlu ambil, biarpun kita tahu, orang lain yang akan mengambilnya.  Jika buah-buahan di tanah yang tidak diketahui tuannya, baik jangan ambil melainkan dengan izin.  

Mungkin sukar, tapi, itulah ajaran agama Islam, perlu minta izin.

Tepuk dada tanya iman.  Apakah yang kita akan lakukan pada setiap perkara yang memerlukan kita membuat keputusan bijak. 




No comments:

Post a Comment