Wednesday, October 17, 2012

Kaki temberang rupanya...


Pada mulanya, iaitu pandangan pertama kepada lelaki itu, telah membuatkan hati saya terdetik, baik dan rajinnya si lelaki itu.

Memang, dia tidak boleh duduk diam.  Ada saja kerja yang dibuatnya. Kebetulan saya bertemu rakan saya di kedai makan ibunya. 

Lelaki itu bercerita kepada kami mengenai pengalaman pahit dan manisnya ketika dia mengasingkan diri daripada bertemu manusia.

Terangnya kepada kami, dia mengasingkan diri disebabkan kecewa dengan isterinya.  Apa sebabnya, tidaklah saya tanya, tak nak menyibuk hal orang.

Tapi, saya amat berminat apabila ayah kepada teman saya memberitahu yang dia hampir bernikah dengan puteri bunian.


"Wah, macamana awak boleh berjumpa dengan puteri bunian tu?"  tanya saya kepada lelaki itu.

Dengan wajah penuh gembira, dia menjawab. "Sebenarnya ketika dalam hutan tu, saya dok kat luar hisap rokok.  Tiba-tiba je ada seorang tua ni bertanya kepada saya, nak tak saya berkahwin dengan anaknya?"

"Cantik tak?  Apa namanya?  Macaman rupanya?"  soal saya lagi tidak sabar untuk tahu kisah selanjutnya.

"Seumur hidup saya, dialah pompuan yang paling cantik, putih...memang lawalah.  Saya tak heran la jumpa pompuan manusia ni, sebab saya dah jumpa perempuan yang paling cantik sekali... saya dah tak heran walau lawa macamanapun perempuan yang saya jumpa sekarang..."  terangnya dengan bersungguh-sungguh.

"Apa namanya?"  tanya saya tidak sabar...mana tidaknya... jawapannya tak memenuhi soalan hehehe.

"Puteri Mariam.  Masa tu dia duduk di sebelah sana...di hadapan saya ayah dia dengan tok kadi dan orang lain tengah duduk tunggu jawapan saya.  Nak kahwin ke tidak."

"Masa tu saya terfikir, kalau saya terima pelawaan ayah dia, tentu saya dah tak dapat jumpa dengan anak-anak saya.  Jadi, saya tolak."  terangnya lagi.

"Oh ye ke... tapi, macamana dengan baju?  Rumah dia macamana? " soal saya lagi, sebab dia tak jawab apa yang saya mahu tahu.

"Eh..rumahnya luas...cantik...pakaian ayah dia macam orang alimlah..."  terusnya lagi.

Saya memang masih tak puas hati lagi dengan penerangannya itu.  Saya mendesak lagi agar pertanyaan saya dijawab.

"Boleh saya tahu, rumahnya tu macam istana ke?  Istana lama ke, moden ke, macam rumah banglo ke, macam rumah biasa ke?"  terjah saya lagi.

"Saya tak tahu... sebab saya nampak macam cermin...macam manusia biasa...masa tu saya memang dah ada dalam rumah dia...luas"

Masa ni saya dah tawar hati nak tau lebih lanjut.  Dalam hati, terlintas juga, dia ni betul ke.  Kalau dia dah termasuk ke alam bunian, kenapa dia tak dapat jawab apa yang aku tanya dengan terperinci?  Getus hati kecil saya.

Tapi, biasalah...saya layan juga kisahnya.

"Macamana pula dengan perabotnya?  Jenis kayu ke? Antik ke?"  soal saya lagi... dalam nada tak puas tapi sempat lagi memberi senyuman kepada lelaki itu supaya dia tak perasan saya macam tak percaya ceritanya.

"Perabot tak tau, saya tak nampak, sebab rumah dia luas betul..." ujarnya dengan bersungguh-sungguh.

"Betul... saya tak tipu..."

"Oh ye ke.."  perlahan saja saya menangguk.  Dah bosan.

Akhirnya beberapa hari lepas, saya bertemu teman saya dan kami sempat lagi bersembang mengenai kisah lelaki itu.

Kami berdua membuat kesimpulan.  Dia ni mungkin berada di alam fantasi.  Kalau benar dia di alam bunian, takkanlah sikitpun tak dapat memberi jawapan kepada soalan mudah kami.

Lagipun, dia tidak tergolong dalam golongan oran pilihan... banyak kisah yang diberitahu mengenai diri, pekerjaan dan beberapa hal peribadinya, membuat kami bertambah musykil.

Dan banyak juga hal lain dia tak arif... tapi...cara cakapnya lain.

Yang buat kami nak tergelak, dia kenal semua menteri, tapi, bila saya tanya siapa orang terdekat PM dia tak dapat jawab.

Dia kata dia pernah terlibat dengan perfileman dokumentari untuk National Geographic.  Bila tanya tajuk, tak ingat, bila tanya beberapa perkara dia tak dapat jawab...hehe.

Yang paling buat saya tak percaya.  Dia kata dia pernah menemani beberapa artis Bollywood dalam satu kereta.  

Masa tu Shah Rukh Khan, Rani Mukerjee, Kajol dan beberapa artis lagi disebutnya.  Malah, dia kata dia pernah temankan Rani Mukerjee membeli-belah di KLCC.

"Alah... Rani Mukerjee tu kecik je orangnya..."  tambahnya untuk menyakinkan kami.

"Apa dia 'shopping'?  Kat 'outlet' mana tu?" tanya saya lagi.

"Kat KLCC lah...macam-macam dia 'shopping."  

Sah...dia temberang.  Kalau ye..mesti ada gambar...lagipun dia tu siapa orang nak ambil untuk jadi pengawal peribadi kepada artis yang tersohor?  80 peratus dia tak dapat jawab pertanyaan saya yang agak terperinci.

Saya tak sangka ada lagi manusia yang sanggup berbohong semata-mata nak menampakkan dirinya hebat.

Maaf ye.  Pengalaman kami dalam bidang kewartawanan dan penyiaran membuatkan kami lebih berhati-hati dan membuat kesimpulan yang nyata.



Petang tadi, pekerja teman saya yang baru berusia 20an... menceritakan kemusykilannya kepada cerita si lelaki...itu.  

Dan saya cuma dapat memberi senyuman saja... Kesian... semua orang dah musykil dengan kisahnya yang "too good to be true".

Maaf sekali lagi.  Ini bukan dunia kami untuk percaya cerita yang tidak ada asas kukuh.

Dan maaf sekali lagi.  Dunia khayalan, biarlah anda yang menghuninya... lagipun keperibadian anda jauh berbeza ...daripada penampilan dan juga penceritaan...



Tuesday, October 16, 2012

jom hidupkan roh rumah kita




\
Assalammualaikum, 

Nampaknya dah agak lama saya tidak menulis di sini.  Sibuk dengan rutin harian yang tidak saya sangka.

Saya tertarik membaca artikel di atas yang saya ambil daripada teman saya.

Rupa-rupanya baru saya tahu, kita perlu hidupkan roh rumah kita, barulah aman damai penghuninya.

Jom kita cuba perlahan-lahan...lama-lama boleh istiqamah...


Sunday, October 14, 2012

ASAL TUTUP AURAT, MESTI ADA YANG BANTAH....


Seorang wanita yang bergelar ibu mertua meluahkan kegusarannya kerana menantunya masih enggan menutup aurat biarpun usia mencecah hampir 40 tahun.  Malah si menantu juga enggan mengikut hasrat si suami yang inginkan dia memakai baju kurung dan bertudung... malah, si suaminya itu pernah melafazkan..."jangan salahkan saya kalau saya terpikat kepada perempuan lain yang menutup aurat.."

Pada masa yang sama juga, menantunya turut memandang sepi kepada wanita bertudung...dengan memberi alasan..."alah, perangai pompuan bertudung lagi teruk daripada tak bertudung..."

Saya pernah menjawab kepadanya, yang juga teman saya..."Kita tak berhak nak tuduh seseorang tu perangai buruk ke tidak, lagipun, itu semua kerja Allah.  Siapa kita nak tuduh orang tu baik ke tidak, sekurang-kurangnya pompuan bertudung tu dah selamat daripada satu dosa..."

Hujah saya terus dipintasnya.  " Eh, aku jumpa ramai betul perempuan bertudung ni perangai lebih jahat daripada yang tak bertudung, selalunya la.."  dia masih nak pertahankan pandangannya.

"Tapi, menutup aurat perintah Allah...kalau macam tu, beranilah kita ni langgar perintah Allah...Nanti kalau mati, sanggup ke kita nak menjawab?  Lagipun, bagi yang belum berkahwin, bapa dia yang tanggung dosa anak perempuan tak menutup aurat, bagi yang dah berkahwin si suamilah... kesiaannnn "  Setakat itu yang mampu saya berhujah, memandangkan dia dah tarik muka 14.  

Saya tak mahu terus bertelagah... hari ini, terjumpa la pula perbahasan ini...agak menarik...insyaallah satu hari nanti...bolehlah saya gunakan nasihat di bawah untuk teman-teman saya...

Dah 2 kali juga teman-teman saya memperlecehkan tudung... "  Macamana nak pakai tudung?  Tudung yang jual kat sini harga sampai beratus..."  

Nasib baik saya sempat jawab, "ada tudung berharga RM10 ringgit, ada yang lagi murah ...kalau tak nak beli yang mahal beli je yang murah...macam i, i beli yang harga murah RM10 ni, kualitipun not bad...kita pilihlah...apa masalahnya?

Teman saya yang merungut ni pula, jenis suka beli kasut mahal-mahal...sampai mencecah tiga empat ratus ringgit... masa tu saya nak juga 'tempiaskan' ... tapi tak jadi sebab, kita tak boleh nak menghentam dia...

Oklah jom kita baca dan fahami.  Terima kasih kepada Muslimah yang menjawab dengan bijak...

Wednesday, October 10, 2012

BERSYUKURLAH



 Beberapa hari lepas, saya berkesempatan bertemu dengan Prihatin yang membantu Mak Yam menyediakan makanan di restoran yang terletak di Ampang Mewah.

Biarpun baru pertama kali bertemu, Prihatin agak peramah orangnya.  Seperti biasa, saya ni suka bertanya pelbagai soalan mengenai dirinya.

Dia datang dari Medan dan berkahwin dengan suaminya, orang Acheh yang telahpun mendapat status penduduk tetap di Malaysia.

Dalam dok bersembang mengenai keluarganya...ayat-ayat ini meluncur laju daripada mulutunya...

"Mewahnya Malaysia, bertuah  betul rakyat Malaysia.  Semuanya dapat percuma.  Tak seperti di Indonesia.  Kalau belajar kena bayar macam-macam.  Di sini, anak-anak belajar dapat duit, (biasiswa) dapat buku percuma...senang sangat-sangat"

"Kalau di tempat saya, semua kena bayar.  Nak kerja kena ada orang dalam, kalau tak ada...biarpun belajar pandai, susahnya nak dapat kerja.  Di sini walaupun anak-anak tak pandai belajar, semuanya kerajaan bagi... apa lagi yang tak cukup?"

Ujarnya sambil sibuk memotong bendi untuk dibuat asam pedas.  Saya pula cuma mengangguk dan meneruskan kata-kata.

"Itulah... orang-orang dulu bersusah payah nak merdekakan Malaysia... bila dah senang, anak cucu tak hargai sangat... tambahan pula anak-anak Melayu, tidak begitu bersungguh-sungguh mengejar impian...."

Pada masa yang sama juga, saya terbayang, dia memang bertuah,  Mana tidaknya.  Suami dia dah dapat status penduduk tetap dan dia pula dari Medan, Indonesia.  Anak-anak kerajaan tanggung.  Tapi, jika rakyat Malaysia bertukar tempat dengannya...adakah semudah yang diperolehi Prihatin dan keluarganya?

Entah kenapa saya agak ngeri bila mengenangkan, ramai rakyat asing berhijrah dan mendapat kemudahan seperti rakyat Malaysia sendiri.  Anak-anak remaja pula semakin alpa.  Ibu bapa pula terlalu sibuk dan kadang kala terlalu sayangkan anak, guru sekolah pula dimarahi apabila pendidik mengambil tindakan dengan menghukum anak-anak yang terlalu nakal dan tidak hormatkan guru.

Malah, apa yang saya kesalkan hingga menjadi kes polis.  Entahlah... mungkin anak-anak yang dihalang daripada menerima hukuman (akibat kenakalan di sekolah) mencapai kejayaan cemerlang.

Menurut Prihatin lagi, banyak betul bantuan yang diterima anak-anaknya yang seramai 4 orang.  Malah, kebanyakan daripada bantuan dia tolak.  Bukan sombong, tapi dia MALU.

Bagi Prihatin,  dia lebih rela berusaha gigih menjahit langsir, kusyen dan baju serta mengambil tempahan katering daripada menerima bantuan yang agak mewah.

"Anak-anak saya, zakat pun dapat, tapi saya tolak, sebab bagi saya, tak baik saya ambil.  Itu adalah amanah untuk orang-orang susah... walaupun saya bukan orang senang, tapi, saya yakin rezeki Allah bagi dan wang zakat tu, adalah hak orang lain..."

"Selagi, saya mampu sara anak-anak, kalau boleh saya tak nak bantuan wang tu sangat... anak-anak saya bertuah, dapat baju sekolah, beg, macam-macam... alhamdulillah"

"Saya dah ajar anak-anak kalau boleh, biarlah duit tu, diberi kepada yang lebih hak... saya tak nak ajar anak-anak saya terlalu berharap pada bantuan..."  luahnya lagi kepada saya.

Bagi saya, itu mungkin rezekinya.  Selama pengalaman saya ketika mengendali program Bersamamu, lain pula halnya.  Ramai subjek yang terlalu berharap pada bantuan.  Malah, ada yang mampu mencari rezeki ada bermacam-macam alasan dikemukakan kepada saya...semuanya atas alasan susah, tak dapat bantuan.

Di mana salahnya?  Adakah pihak yang sepatutnya mencari orang yang benar-benar memerlukan bantuan hanya melakukan tugas mereka sekadar melepas batuk ditangga? hinggakan bantuan tersalah diberi kepada pihak yang bukan rakyat tempatan?

Bagaimana pula dengan JKKK di kawasan tempat tinggal?  Adakah tersalah guna kuasa?

Kalau boleh dahulukan rakyat tempatan yang sememangnya memerlukan dan banyak kes saya dengar... anak-anak warga asing mendapat bantuan sama dengan rakyat Malaysia.


Teringat sebahagian lagu..

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa
Sesamalah kita
Bumi dipijak milik orang...



Monday, October 8, 2012

RAHSIA SURAH AL KAUTHAR & AL MAA'UN


Assalammualaikum,

Agak lama juga ye saya tak 'update'.  Kesibukan melanda diri.  Bagaimanapun, saya tertarik dengan rahsia dua surah ini yang saya petik daripada facebook Ustaz Hasanuddin Yunus.  

Baca dan fokus...barulah kita faham...



Almarhum Said Hawa membongkar rahsia kaitan surah al-Kauthar dan surah sebelumnya al-Maa’un

______________________________________________________

Kita semakin hampir dengan musim Haji. Malah jangan tidak perasan kita berada berturut-turut pada bulan-bulan yang diharamkan Allah. Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Bulan yang sejak jahiliah, masyarakatnya sangat menghormati haramnya bulan ini. Mereka sanggup berhenti berperang yang tentunya penuh beremosi, kepada genjatan senjata sementara waktu.

Walau marah dan geram mereka kepada musuh masih membara, kemuliaan dan tegahan yang ada pada bulan-bulan seperti ini membuat mereka berhenti sejenak daripada terus melayan marah dan geram mereka itu.

Islam pula datang dan mengiktirafnya. Walau tidak dijelas secara terperinci; sekurang-kurangnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam akan melebihkan puasa dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Taala pada bulan sebegini.

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: ‘Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar.’” (Al-Baqarah: 217)

Malah penciptaan Kaabah, bulan haram dan binatang ternakan yang manusia kagumi itu adalah tanda kebesaran Allah. Malah Allah mengetahui lebih daripada itu sehingga rahsia yanga ada pada langit dan bumi semuanya dalam genggaman dan ilmu Allah Subhanahu Wa Taala.

جَعَلَ اللَّهُ الْكَعْبَةَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ قِيَامًا لِّلنَّاسِ وَالشَّهْرَ الْحَرَامَ وَالْهَدْيَ وَالْقَلَائِدَ ۚ ذَٰلِكَ لِتَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَأَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ [٥:٩٧]

“Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan binatang-binatang korban, dan kalung-kalung binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(Al-Maidah: 97)

Apabila sudah hampir musim Haji, mereka yang akan berhaji tahun ini sibuk dengan persiapan berangkat. Kita bagaimana?

Sekurang-kurangnya puasa Arafah dan ibadah korban (qurban) menjadi idaman dan cita-cita kita semua.

Apabila disebut ibadah korban, mari kita lihat perkataan yang meminta kita berkorban yang ada pada surah al-Kauthar.

Imam an-Nasafi cenderung mengatakan surah ini Makkiyah. Imam Ibnu Kathir pula mengatakan ia Madaniyah.

Perbezaan ini menimbulkan daya tarik untuk mengetahui latarbelakang surah ini lebih dekat.

Bayangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa menghadapi ujian, cabaran dan halangan dalam dakwah mulia ini sejak awal Islam sehingga zaman kegemilangannya sebelum baginda wafat. Namun baginda secara berpasukan menggunakan Pendekatan Proses Perubahan Besar (Manhaj Tagyir).

Untuk menukar sebuah sistem kehidupan dalam sebuah masyarakat jahiliah dan dicengkam oleh pemerintahan jahiliah; kedua-duanya memerlukan pendekatan yang betul.

Suasana keliling Rom dan Parsi yang mengelilingi adalah satu hal yang lain.

Baginda menyusun sepasukan manusia yang mampu membuat perubahan. Penekanan baginda Sallallahu Alaihi Wasallam melahirkan manusia yang:

• Imannya mesti kuat dan lasak

• Akhlaknya kena cantik dan indah

• Jiwa pendakwahnya sentiasa hangat; mengajak kepada Allah

• Kesanggupan berkerja secara pasukan dan berjemaah

• Punyai semangat bersama dan memimpin masyarakat; sehingga masyarakat sayang kepada mereka pula

• Bersedia mengambil tempat dan terbuka peluang untuk mereka memimpin negara di kawasan mana dia beroperasi

• Bercita-cita untuk berjihad dan mati pada jalan Allah mengatasi segalanya

Dalam pada bersedih tetapi semangat untuk mengharungi ujian, halangan dan kekangan itu, Allah menurunkan surah seperti al-Kauthar ini.

Allah memberi jaminan syurga dengan menjanjikan mercu tandanya, sungai al-Kauthar.

Maka bersemangatlah baginda dan pasukannya memikirkan dan membayangkan masa hadapan yang dahsyat.

Kesibukan memikirkan keindahan kehidupan abadi adalah sesuatu yang sangat memotivasikan.

Perkataan أَعْطَيْنَاكَ membawa maksud ‘telah dikurniakan’ bermakna telah sedia ada.

Ada ulama tafsir yang meluaskan makna al-Kauthar kepada segala nikmat silam yang telah Allah kurniakan. Itu pun akan memberi kesan yang baik.

Seorang yang berjuang kemudian mendapat tentangan yang hebat akan berasa tenang sama ada mengenang nikmat-nikmat lepas atau membayangkan nikmat akan datang.

Sebaik dia berjaya bermain dengan perasaan membayangkan salah satu atau kedua-dua keadaan; dia sepatutnya bangkit dengan dua perkara lain pula. Maka dia kena فَصَلِّ (bersolat) dan وَانْحَرْ (menyembelih binatang korban).

Said Hawa berdasarkan pandangan ulama tafsir silam dan moden mengatakan solat membawa maksud sebarang ibadah peribadi seperti sembahyang, doa, zikir, puasa dan seumpamanya.

Manakala korban pula membawa maksud sebarang bentuk yang membelanjakan harta seperti menyembelih binatang korban, bersedekah, mengeluarkan zakat, memberi makan anak yatim dan fakir miskin dan seumpamanya pula.

Sesiapa dalam kalangan kita termasuk pendakwah perlu sentiasa mencari erti bersyukur dan kemanisannya, dan sambutlah ia pula dengan pelbagai ibadah dan pengorbanan.

Apabila dua perkara ini berlaku - syukur dan ibadah serta berkorban - maka yakinlah sesuatu yang lain akan berlaku.

Kalau ada mereka yang membenci kita dan dakwah kita, kebaikan yang cuba kita sebarkan atau cahaya yang kita cuba bawa buat menerangi alam ini, mereka itu sebenarnya الْأَبْتَرُ (lemah), terputus daripada sebarang kekuatan dan tenaga.

Orang yang memerangi insan yang pandai bersyukur dan membayangkan janji Allah hadir hidup dalam hatinya, banyak pula solat dan pengorbanannya, memikirkan dan membantu orang susah di sekelilingnya, mereka adalah lemah terputus daripada sebarang kuasa tinggi.

Mereka cuba berlawan dengan orang yang tidak putus-putus mendapat nusrah dan pertolongan Yang Maha Berkuasa.
Manisnya surah pendek ini.

Sayang kadang-kadang tidak hadir makna surah ini dalam kehidupan seorang pejuang.

Said Hawa tidak berhenti di sini. Dia mengajak kita melihat surah sebelumnya pula. Surah al-Maa’un.

Kalau al-Kauthar menceritakan empat sifat yang ada pada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, al-Maa’unpula memceritakan empat sifat munafik atau Quraisy yang mendustakan agama.

Pertama: sifat يَدُعُّ الْيَتِيمَ (membiarkan atau menzalimi anak yatim) dan وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ (tidak menyeru untuk mengalakkan memberi makan orang miskin).

Kedua: الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (tidak solat atau tidak ‘serius’ dalam mengerjakan solat).

Ketiga: الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (menunjuk-nunjuk riya, takabbur, sum’ah dan ujub antara penyakit mereka sebagaimana disebutkan Allah Subhanahu Wa Taala)

Keempat: وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (menolak dan menghalang diri daripada menolong orang yang merayu meminta pertolongan).

Apakah rahsia surah al-Kauthar dan al-Maa’un? Empat sifat yang belawanan rupanya:

• Pemurah وَانْحَر berlawanan dengan bakhil atau lokek يَدُعُّ الْيَتِيمَ dan وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِين

• Ringan tangan menolong orang susah وَانْحَر berlawanan dengan tidak suka menolong orang yang meminta pertolongan وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ

• Solat فَصَلِّ berlawanan dengan Tidak solat atau tidak ‘serius’ solat الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

• Ikhlas sepenuhnya kepada Allah dalam amalan لِرَبِّكَ berlawanan dengan riya الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ

Di manakah kita antara sifat-sifat yang ada pada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang kita mesti contohi dalam surah al-Kauthar dengan sifat-sifat munafik dan kafir Quraisy yang kita perlu jauhi.