Wednesday, October 10, 2012
BERSYUKURLAH
Beberapa hari lepas, saya berkesempatan bertemu dengan Prihatin yang membantu Mak Yam menyediakan makanan di restoran yang terletak di Ampang Mewah.
Biarpun baru pertama kali bertemu, Prihatin agak peramah orangnya. Seperti biasa, saya ni suka bertanya pelbagai soalan mengenai dirinya.
Dia datang dari Medan dan berkahwin dengan suaminya, orang Acheh yang telahpun mendapat status penduduk tetap di Malaysia.
Dalam dok bersembang mengenai keluarganya...ayat-ayat ini meluncur laju daripada mulutunya...
"Mewahnya Malaysia, bertuah betul rakyat Malaysia. Semuanya dapat percuma. Tak seperti di Indonesia. Kalau belajar kena bayar macam-macam. Di sini, anak-anak belajar dapat duit, (biasiswa) dapat buku percuma...senang sangat-sangat"
"Kalau di tempat saya, semua kena bayar. Nak kerja kena ada orang dalam, kalau tak ada...biarpun belajar pandai, susahnya nak dapat kerja. Di sini walaupun anak-anak tak pandai belajar, semuanya kerajaan bagi... apa lagi yang tak cukup?"
Ujarnya sambil sibuk memotong bendi untuk dibuat asam pedas. Saya pula cuma mengangguk dan meneruskan kata-kata.
"Itulah... orang-orang dulu bersusah payah nak merdekakan Malaysia... bila dah senang, anak cucu tak hargai sangat... tambahan pula anak-anak Melayu, tidak begitu bersungguh-sungguh mengejar impian...."
Pada masa yang sama juga, saya terbayang, dia memang bertuah, Mana tidaknya. Suami dia dah dapat status penduduk tetap dan dia pula dari Medan, Indonesia. Anak-anak kerajaan tanggung. Tapi, jika rakyat Malaysia bertukar tempat dengannya...adakah semudah yang diperolehi Prihatin dan keluarganya?
Entah kenapa saya agak ngeri bila mengenangkan, ramai rakyat asing berhijrah dan mendapat kemudahan seperti rakyat Malaysia sendiri. Anak-anak remaja pula semakin alpa. Ibu bapa pula terlalu sibuk dan kadang kala terlalu sayangkan anak, guru sekolah pula dimarahi apabila pendidik mengambil tindakan dengan menghukum anak-anak yang terlalu nakal dan tidak hormatkan guru.
Malah, apa yang saya kesalkan hingga menjadi kes polis. Entahlah... mungkin anak-anak yang dihalang daripada menerima hukuman (akibat kenakalan di sekolah) mencapai kejayaan cemerlang.
Menurut Prihatin lagi, banyak betul bantuan yang diterima anak-anaknya yang seramai 4 orang. Malah, kebanyakan daripada bantuan dia tolak. Bukan sombong, tapi dia MALU.
Bagi Prihatin, dia lebih rela berusaha gigih menjahit langsir, kusyen dan baju serta mengambil tempahan katering daripada menerima bantuan yang agak mewah.
"Anak-anak saya, zakat pun dapat, tapi saya tolak, sebab bagi saya, tak baik saya ambil. Itu adalah amanah untuk orang-orang susah... walaupun saya bukan orang senang, tapi, saya yakin rezeki Allah bagi dan wang zakat tu, adalah hak orang lain..."
"Selagi, saya mampu sara anak-anak, kalau boleh saya tak nak bantuan wang tu sangat... anak-anak saya bertuah, dapat baju sekolah, beg, macam-macam... alhamdulillah"
"Saya dah ajar anak-anak kalau boleh, biarlah duit tu, diberi kepada yang lebih hak... saya tak nak ajar anak-anak saya terlalu berharap pada bantuan..." luahnya lagi kepada saya.
Bagi saya, itu mungkin rezekinya. Selama pengalaman saya ketika mengendali program Bersamamu, lain pula halnya. Ramai subjek yang terlalu berharap pada bantuan. Malah, ada yang mampu mencari rezeki ada bermacam-macam alasan dikemukakan kepada saya...semuanya atas alasan susah, tak dapat bantuan.
Di mana salahnya? Adakah pihak yang sepatutnya mencari orang yang benar-benar memerlukan bantuan hanya melakukan tugas mereka sekadar melepas batuk ditangga? hinggakan bantuan tersalah diberi kepada pihak yang bukan rakyat tempatan?
Bagaimana pula dengan JKKK di kawasan tempat tinggal? Adakah tersalah guna kuasa?
Kalau boleh dahulukan rakyat tempatan yang sememangnya memerlukan dan banyak kes saya dengar... anak-anak warga asing mendapat bantuan sama dengan rakyat Malaysia.
Teringat sebahagian lagu..
Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa
Sesamalah kita
Bumi dipijak milik orang...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment