Monday, October 8, 2012

RAHSIA SURAH AL KAUTHAR & AL MAA'UN


Assalammualaikum,

Agak lama juga ye saya tak 'update'.  Kesibukan melanda diri.  Bagaimanapun, saya tertarik dengan rahsia dua surah ini yang saya petik daripada facebook Ustaz Hasanuddin Yunus.  

Baca dan fokus...barulah kita faham...



Almarhum Said Hawa membongkar rahsia kaitan surah al-Kauthar dan surah sebelumnya al-Maa’un

______________________________________________________

Kita semakin hampir dengan musim Haji. Malah jangan tidak perasan kita berada berturut-turut pada bulan-bulan yang diharamkan Allah. Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Bulan yang sejak jahiliah, masyarakatnya sangat menghormati haramnya bulan ini. Mereka sanggup berhenti berperang yang tentunya penuh beremosi, kepada genjatan senjata sementara waktu.

Walau marah dan geram mereka kepada musuh masih membara, kemuliaan dan tegahan yang ada pada bulan-bulan seperti ini membuat mereka berhenti sejenak daripada terus melayan marah dan geram mereka itu.

Islam pula datang dan mengiktirafnya. Walau tidak dijelas secara terperinci; sekurang-kurangnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam akan melebihkan puasa dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Taala pada bulan sebegini.

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: ‘Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar.’” (Al-Baqarah: 217)

Malah penciptaan Kaabah, bulan haram dan binatang ternakan yang manusia kagumi itu adalah tanda kebesaran Allah. Malah Allah mengetahui lebih daripada itu sehingga rahsia yanga ada pada langit dan bumi semuanya dalam genggaman dan ilmu Allah Subhanahu Wa Taala.

جَعَلَ اللَّهُ الْكَعْبَةَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ قِيَامًا لِّلنَّاسِ وَالشَّهْرَ الْحَرَامَ وَالْهَدْيَ وَالْقَلَائِدَ ۚ ذَٰلِكَ لِتَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَأَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ [٥:٩٧]

“Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan binatang-binatang korban, dan kalung-kalung binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(Al-Maidah: 97)

Apabila sudah hampir musim Haji, mereka yang akan berhaji tahun ini sibuk dengan persiapan berangkat. Kita bagaimana?

Sekurang-kurangnya puasa Arafah dan ibadah korban (qurban) menjadi idaman dan cita-cita kita semua.

Apabila disebut ibadah korban, mari kita lihat perkataan yang meminta kita berkorban yang ada pada surah al-Kauthar.

Imam an-Nasafi cenderung mengatakan surah ini Makkiyah. Imam Ibnu Kathir pula mengatakan ia Madaniyah.

Perbezaan ini menimbulkan daya tarik untuk mengetahui latarbelakang surah ini lebih dekat.

Bayangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa menghadapi ujian, cabaran dan halangan dalam dakwah mulia ini sejak awal Islam sehingga zaman kegemilangannya sebelum baginda wafat. Namun baginda secara berpasukan menggunakan Pendekatan Proses Perubahan Besar (Manhaj Tagyir).

Untuk menukar sebuah sistem kehidupan dalam sebuah masyarakat jahiliah dan dicengkam oleh pemerintahan jahiliah; kedua-duanya memerlukan pendekatan yang betul.

Suasana keliling Rom dan Parsi yang mengelilingi adalah satu hal yang lain.

Baginda menyusun sepasukan manusia yang mampu membuat perubahan. Penekanan baginda Sallallahu Alaihi Wasallam melahirkan manusia yang:

• Imannya mesti kuat dan lasak

• Akhlaknya kena cantik dan indah

• Jiwa pendakwahnya sentiasa hangat; mengajak kepada Allah

• Kesanggupan berkerja secara pasukan dan berjemaah

• Punyai semangat bersama dan memimpin masyarakat; sehingga masyarakat sayang kepada mereka pula

• Bersedia mengambil tempat dan terbuka peluang untuk mereka memimpin negara di kawasan mana dia beroperasi

• Bercita-cita untuk berjihad dan mati pada jalan Allah mengatasi segalanya

Dalam pada bersedih tetapi semangat untuk mengharungi ujian, halangan dan kekangan itu, Allah menurunkan surah seperti al-Kauthar ini.

Allah memberi jaminan syurga dengan menjanjikan mercu tandanya, sungai al-Kauthar.

Maka bersemangatlah baginda dan pasukannya memikirkan dan membayangkan masa hadapan yang dahsyat.

Kesibukan memikirkan keindahan kehidupan abadi adalah sesuatu yang sangat memotivasikan.

Perkataan أَعْطَيْنَاكَ membawa maksud ‘telah dikurniakan’ bermakna telah sedia ada.

Ada ulama tafsir yang meluaskan makna al-Kauthar kepada segala nikmat silam yang telah Allah kurniakan. Itu pun akan memberi kesan yang baik.

Seorang yang berjuang kemudian mendapat tentangan yang hebat akan berasa tenang sama ada mengenang nikmat-nikmat lepas atau membayangkan nikmat akan datang.

Sebaik dia berjaya bermain dengan perasaan membayangkan salah satu atau kedua-dua keadaan; dia sepatutnya bangkit dengan dua perkara lain pula. Maka dia kena فَصَلِّ (bersolat) dan وَانْحَرْ (menyembelih binatang korban).

Said Hawa berdasarkan pandangan ulama tafsir silam dan moden mengatakan solat membawa maksud sebarang ibadah peribadi seperti sembahyang, doa, zikir, puasa dan seumpamanya.

Manakala korban pula membawa maksud sebarang bentuk yang membelanjakan harta seperti menyembelih binatang korban, bersedekah, mengeluarkan zakat, memberi makan anak yatim dan fakir miskin dan seumpamanya pula.

Sesiapa dalam kalangan kita termasuk pendakwah perlu sentiasa mencari erti bersyukur dan kemanisannya, dan sambutlah ia pula dengan pelbagai ibadah dan pengorbanan.

Apabila dua perkara ini berlaku - syukur dan ibadah serta berkorban - maka yakinlah sesuatu yang lain akan berlaku.

Kalau ada mereka yang membenci kita dan dakwah kita, kebaikan yang cuba kita sebarkan atau cahaya yang kita cuba bawa buat menerangi alam ini, mereka itu sebenarnya الْأَبْتَرُ (lemah), terputus daripada sebarang kekuatan dan tenaga.

Orang yang memerangi insan yang pandai bersyukur dan membayangkan janji Allah hadir hidup dalam hatinya, banyak pula solat dan pengorbanannya, memikirkan dan membantu orang susah di sekelilingnya, mereka adalah lemah terputus daripada sebarang kuasa tinggi.

Mereka cuba berlawan dengan orang yang tidak putus-putus mendapat nusrah dan pertolongan Yang Maha Berkuasa.
Manisnya surah pendek ini.

Sayang kadang-kadang tidak hadir makna surah ini dalam kehidupan seorang pejuang.

Said Hawa tidak berhenti di sini. Dia mengajak kita melihat surah sebelumnya pula. Surah al-Maa’un.

Kalau al-Kauthar menceritakan empat sifat yang ada pada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, al-Maa’unpula memceritakan empat sifat munafik atau Quraisy yang mendustakan agama.

Pertama: sifat يَدُعُّ الْيَتِيمَ (membiarkan atau menzalimi anak yatim) dan وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ (tidak menyeru untuk mengalakkan memberi makan orang miskin).

Kedua: الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (tidak solat atau tidak ‘serius’ dalam mengerjakan solat).

Ketiga: الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (menunjuk-nunjuk riya, takabbur, sum’ah dan ujub antara penyakit mereka sebagaimana disebutkan Allah Subhanahu Wa Taala)

Keempat: وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (menolak dan menghalang diri daripada menolong orang yang merayu meminta pertolongan).

Apakah rahsia surah al-Kauthar dan al-Maa’un? Empat sifat yang belawanan rupanya:

• Pemurah وَانْحَر berlawanan dengan bakhil atau lokek يَدُعُّ الْيَتِيمَ dan وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِين

• Ringan tangan menolong orang susah وَانْحَر berlawanan dengan tidak suka menolong orang yang meminta pertolongan وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ

• Solat فَصَلِّ berlawanan dengan Tidak solat atau tidak ‘serius’ solat الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

• Ikhlas sepenuhnya kepada Allah dalam amalan لِرَبِّكَ berlawanan dengan riya الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ

Di manakah kita antara sifat-sifat yang ada pada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang kita mesti contohi dalam surah al-Kauthar dengan sifat-sifat munafik dan kafir Quraisy yang kita perlu jauhi.

No comments:

Post a Comment