Saturday, December 4, 2010

istiqamah

buat baik berpada-pada.  buat jahat jangan sekali.  pepatah melayu yang hebat, tapi, jarang diikuti.  biasanya apabila kita hendak berbuat baik, pasti ada sedikit rintangan yang mungkin menghalang.  bagaimanapun, jika kita nekad, insyaallah apa yang ingin kita kerjakan pasti tercapai.

bila dah tercapai, susah pula kita nak menjadikan ia secara 'istiqamah'.  yang peliknya, kalau nak berjogging, sanggup la pula kita ikut masa. tapi, bila nak buat 'extra' dalam ibadah, payahnya...payah bebenor.

kata orang jika kita melakukan sesuatu pekerjaan dan nak ia berterusan selama-lamanya, sekurang-kurangnya kena buat selama 21 hari.  dulu yang saya diberi petua, dalam 44 hari tanpa 'miss' sehari, insyaallah orang itu akan dapat menjadikannya sebati dalam hidup.

macam pak lang saya...ingin benar dia berjemaah subuh di masjid...tapi, ada je yang halangan.  satu hari dia nekad.  44 hari dia ke masjid walau hujan lebat, banjir...akhirnya kini, kalau tak pergi memang dia rasa kekosongan, kecuali kalau dia tak berdaya sebab sakit yang menyukarkan dia berjalan.

saya teringat satu kisah yang diceritakan oleh ustaz, tak ingat pulak samada melalui tv atau ceramah yang kami ikuti atau ketika bersembang dengan ustaz.

satu hari adalah seorang lelaki ini nak ke masjid untuk berjemaah subuh.  keluar je dari rumahnya dan sampai ke satu kawasan lopak, tiba-tiba dia terjatuh, habis pakaiannya kotor.  dia pun pulang ke rumah,  tukar pula pakaian lain. kemudian, dia pergi semula ke masjid.

esoknya perkara sama berlaku.  bila dia keluar je, sampai kat lopak tu, sekali lagi, dia terjatuh, pakaiannya kotor lagi.  baliklah dia, tapi, dia tetap meneruskan kebiasannya ke masjid. 

lusanya, dia berjalan lagi untuk ke masjid.  sampai je kat lopak itu dengan berhati-hati dia melangkah.  tiba-tiba ada seorang lelaki tua menghulur tangan serta memegang tangannya agar tidak terjatuh. mereka jalan beriringan hingga tiba ke masjid.  sampai sahaja di masjid, lelaki tua ini melepaskan tangannya dan meminta diri untuk pergi.

lalu pemuda ini bertanya, kenapa lelaki tua itu tidak masuk ke masjid untuk jemaah bersama.  jawab lelaki tua itu, " aku sebenarnya adalah iblis".  terkejut dengan pengakuan orang tua, dia bertanya lagi.  "habis kenapa engkau membantu aku ketika di lopak itu dan mengiringi aku hingga ke masjid?". 

jawab iblis, "sebenarnya apabila engkau jatuh pertama kali, akulah yang menolak engkau agar pakaian engkau kotor dan engkau membatalkan niat untuk ke masjid.  malangnya, engkau pulang dan menukar pakaian bersih lalu ke masjid lagi.  maka, Allah telah mengampunkan seluruh dosa-dosa engkau.  dan semalam apabila engkau jatuh, akulah juga yang menyebabkannya, tetapi engkau tetap ke masjid.  maka, Allah telah mengampunkan dosa seluruh keluarga engkau."

"hari ini, aku membantu engkau daripada jatuh kerana aku tidak ingin dan aku takut Allah akan  mengampunkan seluruh dosa penduduk di desa engkau, maka, aku memastikan engkau tidak jatuh dan kotor lagi." selepas je berkata demikian, maka iblis itupun berlalu pergi.

betapa Allah maha pengampun dan penyayang.  banyak rahsia yang kita tidak tahu.  mungkin kita ditimpa musibah sebab Allah ingin memberikan ganjaran lebih besar kepada kita.  setiap perkara kebaikan, terutama ibadah yang diredhai Allah pasti besar ganjarannya hingga tak mampu kita bayangkan.

jadi, biar lambat asal kita dapat menjalankan ibadah secara istiqamah.  kekuatan kita datang daripada hati kita.  insyaallah bersama-samalah kita cuba membuat kebaikan.  masa kita semakin suntuk. 

jangan kita fikirkan apa orang fikir atau akan kata kepada kita. lebih baik kita fikirkan apakah balasan yang kita dapat jika kita buat sesuatu pekerjaan.  adakah ia pahala atau dosa?

saya juga ingin mengingatkan diri saya, bersedialah dan kuatkan semangat.

No comments:

Post a Comment