Saturday, January 28, 2012

wajah mayat berpaling daripada kiblat - JANGAN TINGGAL SOLAT

Assalammualaikum,


semalam, sebelum melangkah keluar dari pintu pejabat, saya melihat pakcik syed sedang bercakap dengan encik bakti.  agak rancak perbualan mereka.  


saya meneruskan langkah ke pintu, tetapi telinga saya menangkap perbualan yang agak menarik.  pakcik syed dan encik bakti beria-ia membicarakan kisah yang bagi saya, ingin sekali saya tahu, memandangkan wajah pakcik syed agak serius.


"kenapa ni? ada apa-apakah?"


"tadi, semasa jumaat, imam masjid bercerita, masa nak mengangkat mayat, berat sangat-sangat mayat tu, sampai tak berinjak langsung dari lantai?" terang pakcik syed kepada saya.


"ya ka? sebab apa jadi macam tu?"  soal saya.


"itula imam tu bagi tau mayat tu tak pernah menghadap kiblat, tak pernah solat lebih 30 tahun, betul tak encik, tadi masa solat jumaat, khutbah yang imam tu bagi?" soal pakcik syed kepada encik bakti pula.


bakti mengangguk-ngangguk kepala tanda setuju.


"pakcik tak reka cerita ni, imam tu yang bagi tau.  imam tu muda lagi kan?"  soal lagi pakcik syed kepada encik bakti.


encik bakti mengangguk tanda setuju.


saya pula tercegat di pintu pejabat, terpegun dengan kisah yang diceritakan.


"imam tu muda lagi, bagus dia bagi cerita macam tu, bukanlan nak mengaibkan mayat, tapi supaya kita jangan lalai" sambung pakcik syed.


"bukan saja masa nak angkat tu berat sangat, dah sampai kubur, ada lagi" 


"bila dah masuk kat liang lahad, muka dia pulak tak mau mengadap kiblat, bukan tu saja, dengan badan-badan tak mau mengadap kiblat" terang pakcik syed.


saya dan encik bakti, terdiam mendengar cerita pakcik syed.  saya pula terbayang-bayang keadaan mayat tersebut berdasarkan cerita pakcik syed.


"sampai begitu sekali pakcik?"  tanya saya lagi.


"ye, pakcik tak bohong, imam muda tu yang cerita.  pakcik suka kat imam tu, bagus dia mengingatkan kita.  orang-orang macam tu la yang kita nak"  


"itulah, Allah balas bila dah mati.  dengar cerita orang tu memang tak pernah sembahyang, itu yang jadi  macam tu."  pakcik syed menggeleng-geleng kepala tanda kesal.


terdiam saya mendengarkan cerita pakcik syed.  menurut pakcik syed lagi, kejadian itu berlaku beberapa minggu lalu.  


ya Allah, tolonglah Kau pelihara aku daripada perbuatan yang Engkau tidak sukai,  sesungguhnya aku takut, ya Allah.


bagi anda yang membaca kisah ini, sama-samalah kita bertaubat.  kita baliklah ke jalan yang Allah redhai.  solat wajib 5 waktu jangan tinggal.  masih tidak terlambat untuk kita kembali ke jalan Allah.


biar sekecil zarahpun, Allah tetap akan mengira dan memberi balasan kepada hamba-hambanya, samada perbuatan baik atau tidak baik.


ingatlah, Allah Maha Pengasih, Pengampun dan Penyayang.  Allah tidak pernah meninggalkan kita walau sesaatpun.


kalau sukar, buatlah perlahan-lahan.  bila masuk waktu, sentiasalah kita takut dan kasih pada Allah.  dalam hati, teruskan berkata-kata, aku nak solat, aku nak solat, insyaallah kita akan segera bersolat atau sekurang-kurangnya bersolat dalam waktunya.


Allah sayangkan kita, sebab itu Allah amat suka kita berdoa kepadanya kerana Dia rindu kepada kita.





Saturday, January 21, 2012

terima kasih ya Allah di saatku dahaga kau memberiku air zam zam

Assalammualaikum,

apabila saya melihat kaabah, tidak kiralah gambar, televisyen, media cetak, pasti saya teringat kenangan di Hijr Ismail.


bagi saya jika dapat solat sunat di hijr ismail adalah bonus.  manakan tidak, memang sukar juga nak bersolat di situ memandangkan ramai yang berkeinginan yang sama.  lelaki perempuan berebut-rebut.

hanya mereka yang nekad untuk masuk sahaja pasti akan mendapatnya.  bila bersolat di situ, adab tidak lagi dikira.

pertama kali dapat masuk ke hijr ismail, saya amat bahagia.  tapi, macamana saya nak melalui orang yang tengah bersolat, tiada ruang untuk lalu dan bersolat di tempat kosong.  kena tunggu dan jika ada yang sudah, segera ke tempat kosong,  mana yang sempat, terus je takbiratul ihram.

berdoa panjang tidak mungkin.  kerana jemaah akan disuruh keluar oleh petugas yang menjaga hijr ismail.

alhamdulillah ketika mengerjakan umrah, dapatlah beberapa kali bersolat di situ.  namun, kadang kala kesal juga sebab terpaksa menjadi kurang sopan dengan melangkah masuk di hadapan orang bersolat, sedangkan ia adalah berdosa jika kita lalu di hadapan orang bersolat. nak buat macamana? nak tak nak terpaksa juga, memandangkan jika nak tunggu dengan sopan tanpa ditolak orang, alamat tidak dapat masuk.

saya teringat semasa umrah pertama, hari terakhir saya dapat bersolat di hijr ismail, cuaca amat panas.  sebelum itu, saya pernah lalu di hijr ismail dan tersedar, rupanya ada tong zam zam di tepi dinding hijr ismail.  dalam hati terdetik, sedapnya air zam zam tu.  entah kenapa saya macam terasa air di situ adalah paling enak padahal tong zam zam banyak di masjidil haram.  ha, minumlah dan ambillah seberapa banyak yang nak.

berbalik pada kenangan indah saya di hijir ismail.  saya baru saja selesai solat sunat, sambil-sambil tu saya mencuri masa berdoa, dan dalam hati terdetik, panasnya, kalaulah dapat minum air zam zam saat ni, kan sedap?

orang di sebelah saya sudahpun bangun untuk keluar, manakala teman-teman di sebelah kanan sayapun sudah solat, bersiap untuk bangun.

tiba-tiba mata saya terpandang kepada penjaga wanita hijr ismail menuang air zam zam.  dalam hati ya Allah, aku mohon untuk sempat berdoa kepadamu sebab aku tahu mesti pengawal tu nak halau aku berdoa, kenapa la mereka tidak memberiku ruang untuk berdoa kepadamu?

ketika saya nak meneruskan doa, tiba - tiba pengawal wanita itu membawa segelas air zam zam ke arah kami, masa itu hati terdetik, ah sudah tu nak halau la tu.

mata wanita arab itu tepat memandang kepada saya sambil membawa air dan menghulur zam zam.  kira-kira dalam jarak 3 kaki di telahpun menghulur gelas zam zam, teman-teman saya yang 2 orang terus menghulur tangan mereka untuk mengambil air tersebut.

anehnya, wanita arab itu tidak memberipun air zam zam kepada teman-teman di sebelah saya, padahal mereka menghulur tangan.  saya pula tengah berdoa dan nak bangun, kerana sangkakan saya akan dihalau.

di depan saya berdiri wanita arab itu sambil menghulur air zam zam kepada saya,  sambil bercakap bahasa arab.  memang saya tak faham.  saya mulanya menolak dan memintanya dia memberikan air tersebut kepada teman-teman saya tadi.

dia menggeleng kepalanya dan tetap menghulur kepada saya supaya mengambilnya.  saya faham lalu saya menerima air tersebut dengan ucapan, syukran, syukran, syukran ya.

saya teguk air zam zam.  dan saya nampak wanita itu kembali kepada kami dan barulah dia menghulur air zam zam kepada teman-teman saya.

saya tahu, ia adalah peristiwa istimewa untuk saya.  hanya Allah yang tahu.  manakan tidak?  dari jauh dia menghulur gelas zam zam dan 2 orang teman saya menghulur tangan untuk mengambilnya.  kenapa dia tidak memberi terus kepada teman-teman saya?  saya pula tidak menghulur tangan.  dia utamakan saya.  kenapa ya?  daripada matanya saya seolah-olah faham, ambillah air ini, minum dulu.  ya baru saya teringat dia menyuruh saya minum air zam zam waktu itu juga.....

di antara kami bertiga kenapa wanita arab itu memilih saya? padahal kedudukan saya agak jauh dari jarak dia mengawal dibandingkan 2 teman saya.

bagi saya itu adalah mesej daripada Allah.  mungkin Allah menjawab dengan memberi air zam zam kerana saya tidak dapat berdoa dengan tenang.  saya nak berdoa sangat kat hijr ismail kerana ia adalah tempat mustajab, tapi terlalu sukar.

Alhamdulillah, sesuatu yang tidak saya duga berlaku.  jadi, ingatlah, mungkin yang kita inginkan tak dapat itu Allah ganti dengan lebih baik dan kita perlu guna akal untuk menganalisis maksud di sebaliknya.

bagi saya, mungkin Allah memberi mesej, jangan bersedih tidak dapat berdoa di Hijir Ismail, berdoalah di mana-mana saja.  pengawal wanita arab yang tiba-tiba memberi air kepada saya, adalah rahmat daripada Allah.

Ya Allah, terima kasih Ya Allah, di saatku dahaga kau memberiku air zam zam.

Tuesday, January 17, 2012

perangai penghuni flat / apartment

assalammualaikum,


tinggal di apartmen, tidaklah indah.  walaupun pemandangan menarik, kalau orang yang menghuni di sini perangai tidak menarik, menghasilkan suasana tidak menarik.

pemandangan berhampiran lif

entahlah.  difikir secara logik, mereka yang tinggal di apartmen atau flat adalah orang yang pentingkan diri sendiri.  jarang menggunakan akal untuk keharmonian bersama.

susah benarkah penghuni hendak membuang sampah elok-elok?  butakah mata hati mereka?  cubalah fikir, sampah dibuang sewenang-wenangnya, berhampiran lif pulak tu.  kesian kepada mereka yang tinggal bertentangan lif.  kena pula sampah diletak bersebelahan dinding penghuni.  memang kurang akal betul.

sikitpun mereka tidak menggunakan akal memikir semula jika mereka tinggal di unit berkenaan, adakah mereka rela kawasan dikotori?

walaupun diletak notis supaya dibuang sampah elok-elok, lagilah mereka membuang sampah berhampiran  notis dilekatkan.  memang fikiran mereka dalam kelas 3.

berlainan pula di kawasan kondominium, rata-rata kawasan penempatan bersih.  dijaga dengan elok.  kebanyakan mereka yang tinggal di kondo adalah berpelajaran tinggi.

mungkin kenyataan saya ini mengundang kemarahan mereka yang tinggal di apartmen atau flat.  tapi, cuba fikirkan balik.  adakah membuang sampah sesuka hati dan mencemar pemandangan adalah perbuatan elok?

apa salahnya bila nak buang sampah, sampah dibungkus elok-elok dan dibuang di tempat sepatutnya, jauh dari unit jiran.

tapi itulah perbuatan penghuni di flora damansara blok D.  rumah sendiri nak bersih, tapi, pada masa yang sama sanggup mengotori kawasan rumah orang.  kesian, mereka tak cukup untuk berfikir, nampak gaya kena belajar lagi.




surah al kautsar - hilangkan gundah gulana

semalam saya menonton tv9 rancangan tanyalah ustaz.  agak menarik topiknya.  ia berkenaan mendidik anak-anak remaja.

sebelum itu, ustaz tersebut membacakan surah paling pendek, iaitu al kautsar.

bagi yang merasa sedih, tidak tenteram.  bacalah surah ini.  caranya.



1. ambil segelas air mineral atau air yang tidak dimasak
2. bacalah 3 kali surah al kautsar - tiup
3. minumlah dan sapu sedikit pada wajah

insyaallah segala yang mengganggu fikiran akan berkurangan...dan jangan harap ayat ini saja yang akan menghilangkan segala-gala masalah.

pastikan,  kita sentiasa ingat Allah.  mintalah kepadaNya setiap masa yang termampu.

Saturday, January 14, 2012

siapakah si anak kecil ketika sae'i

gambar google
saya tidak pernah mengerjakan haji.  belum lagi.  insyaallah, setiap ketika saya memohon kepada Allah untuk menjemput saya dan ibu serta keluarga untuk menunaikan rukun ke 5 itu.  saya berdoa, moga-moga tahun ini saya dipanggil bersama ibu dan abang-abang.

rindu betul saya dengan suasana di Makkah dan Madinah.

saya teringat satu peristiwa ketika mengerjakan saei bersama ibu.  entah pusingan ke berapa.  ketika kami menuju ke Marwah, tiba-tiba sedikit kekecohan berlaku.  beberapa jemputan umrah berhenti dan bertanya dalam bahasa arab kepada seorang anak kecil lelaki.  tak silap saya, kira-kira berumur 3 tahun.  comel betul.

dia berjalan seorang diri mengerjakan saei.  tiada sesiapapun mengiringi dia, tiada ibu, tiada bapa, apatah lagi orang dewasa.  beberapa jemaah berhenti dan bertanyakan sesuatu kepadanya.  anehnya dia tetap berjalan mengerjakan saei.  lengkap berihram.  rambut keriting.  wajah arab, tentunya.  biarpun ramai yang kecoh mungkin risaukan dirinya tertinggal keluarganya. dia tetap selamba berjalan terus menuju marwah.

namun, saya melihat wajahnya agak sedih.  pakaian ihramnya pula dipakai dengan baik.  maksud saya, dari pinggang ke kakinya kain ihram itu sama, tidak senget seperti kanak-kanak lain yang kadang kala terjurai sana sini.

kanak-kanak itu tetap berjalan selamba.  bagaimanapun ramai yang mula mengelilinginya, saya terus memberitahu ibu saya, "mak, kesian budak tu, dia buat saei sorang-sorang, mak pak dia takdakpun, tu yang depa dok tanya dia, tapi dia diam ja"

ibu sayapun membalas, "kesiannya" lantas menghampiri kanak-kanak tersebut dengan mengusap-ngusap kepalanya.

sayapun mengajak ibu saya meneruskan ibadah kami, saya tiba-tiba teringat, eh aku ni dalam ihram nak buat saei...tapi terhenti pulak, nanti niat dah lari.

perjalanan kami teruskan juga.  setelah selesai tahlul, tiada lagi kekecuhan.

saya masih teringat keadaan kanak-kanak itu.  sikitpun tidak menangis. tetap meneruskan perjalanan saei.  hairan juga ya...kalau kanak-kanak lain pasti menangis meraung-raung dek terlepas daripada keluarga.  yang seorang ni relaks je.  pakaian ihram pulak lengkap dan dipakai dengan elok, lebih baik daripada orang dewasa.  kalau dalam usia 9 ke 10 tahun  tak pe juga sebab dah boleh berfikir dan tahu ke mana nak pergi. tapi, ini kanak-kanak 3 tahun, yang jarang sekali berenggang dengan keluarga.  pelik.

siapa dia?

Thursday, January 12, 2012

dianiaya

saya masih ingat lagi peristiwa 10 tahun lalu yang menimpa saya di tempat kerja.


ketika itu, 'appraisal' atau penilaian prestasi kerja sedang dijalankan.  macam biasalah, pengurus saya akan memberi markah tinggi kepada 'orang-orangnya'.  saya pelik, kalau dapat markah penuh, mestilah kualiti kerja terbaik, kehadiranpun terbaik, 'rating story' yang dibuat mestilah terbaik juga.


tapi, itu bukan nilaiannya.


setiap kali, orang-orangnya jugalah yang mendapat markah penuh.  ada sekali, saya sepatutnya mendapat markah penuh, tetapi, tidak diberikan dengan seadil-adilnya, kerana katanya terpaksa mengikut kuota untuk itu.


saya amat kecewa, markah saya dikurangkan dalam menghadiri kursus yang dijalankan.  kursus yang saya hadiri melebihi adalah 21 jam, tetapi pengurus tersebut meletakkan 13 jam, kursus minimum adalah 15 jam bagi setahun. sayapun mempersoalkan keputusannya.


"kak s kenapa beri saya kursus ni 13 jam, sedangkan saya hadiri 21 jam, kenapa padam (liquid paper)?"


"tak boleh dik, nanti kau dapat 5, dah tak boleh, sebab kita ada quota" jawab kak s.


saya amat kecewa kerana terang-terangan dia menidakkan hak saya.  sejak itu, di kolum komen mengenai 'appraisal' saya tak pernah isi.  kecewa.


pemimpin yang menyalahguna kuasa.  dalam hati, saya tidak meredhai keputusannya.  sebab saya bekerja di bawahnya beberapa tahun dan saya tidak diberi penilaian sewajarnya.  


terus saya berdoa dalam hati, "ya Allah, jika inilah hak aku sepatutnya dapat, aku redha, tapi, kalau ia bukan, aku tuntut di akhirat ya Allah.  Engkaupun tahu bagaimana aku bekerja, aku memberikan segala-galanya untuk syarikat, tetapi, inikah pemimpin yang menidakkan hakku.  Ya Allah, hanya kepada  Engkau aku mengadu, aku serahkan segala-galanya kepada Engkau."


hanya itu yang saya dapat lakukan.  mungkin ada yang memandang remeh.  tetapi, bagi saya, ketidakadilan amat ketara.  kenapa orang-orangnya mendapat bonus tinggi sedangkan hasil kerja asal buat, datang lewat, meng'ular' (hilang)?


perangkap makan tuan.


bonus saya selalu kurang daripada orang-orang kak s, tetapi, alhamdulillah Allah berikan ketenganan pada saya.  masalah kerja tidak ada, selalu mendapat pengiktirafan orang teratas.  tetapi, dibawahkan oleh pengurus kak s.  tak apa, Allah Maha Adil.  itulah pujukan hati saya bila terasa 'down'.


Tahun lepas.  lain cerita kak s.  orang kesayangannya mengenakannya.  kini, kuasanya diambil alih oleh staf yang disayangi.  bos besar lebih mendengar kata-kata kosong stafnya.  dia kini terkontang-kanting.  apa sahaja cadangannya tidak diterima.  


tetapi, tahun ini dia membuat strategi baru, dia mengambil staf yang boleh menurut perintahnya tanpa soal.  tidak serik lagi.


bekerja dengan kak s meninggalkan kesan mendalam.  kebanyakan kerja kita akan diakui adalah kerja-kerjanya, ideanya dan pelbagai lagi.  sebab itulah dia mudah naik pangkat.  tak kisahlah, itu pangkat dunia.  hidupnya pun tidak seindah pasangan lain.


saya pula jenis yang meluahkan kebenaran yang memungkinkan orang tidak suka.  manakan tidak?  jika kerja tidak memberi kebaikan atau menghasilkan yang baik, pasti saya akan memberi cadangan.  tetapi, ini tidak disukai.  banyak cadangan saya ditolak.  akhirnya beberapa bulan atau setahun atau beberapa tahun kemudian, cadangan saya diguna.  tetapi, ia bukan lagi milik saya...jadi milik orang lain...


ya lah, bila kita dah cadang lama, orang tak nak pakai, siapa yang ingat, kecuali orang-orang yang menjadi saksi.  bila kita dah keluar dari program tersebut, idea kita dijadikan idea mereka.


tak apa, saya redha, sebab di akhirat, di dunia yang kekal, Allah akan membalas.  


itu yang saya dapat.


serahlah diri kita bulat-bulat pada Allah.  pasti tidak mengecewakan sedikitpun.


Alhamdulillah, setakat ini, Allah memelihara saya.  saya bersyukur.  Hanya Allah yang tahu apa terbaik untuk saya.



Monday, January 9, 2012

sikap yang sukar dikikis

entah kenapa manusia tidak menitikberat sikap yang mereka ada.

malas.

ini adalah penyakit yang jika tidak dibendung, akan melarat.  bila buat kerja suka diselesaikan pada saat-saat akhir.  dengan bangganya mereka mendabik dada, walaupun lambat tapi kerja aku siap juga.

memanglah kerja siap.  tapi, sedar tak?  mereka telah menyusahkan banyak pihak.  terutama pihak yang bersangkut paut dengan kerja berkaitan.

sikap malas adalah sikap mementingkan diri sendiri.  pada pendapat saya, mereka tidak memikirkan kerjasama dengan orang-orang di sekeliling.  tak semua orang bersikap malas.  ada yang kerja mengikut jadual atau 'deadline'.  tambahan pula mereka pun perlu bekerja dengan orang-orang lain, bukan dengan satu pihak saja.

bila dah saat akhir, tentu kerja tidak sesempurna yang sepatutnya.  bahan pula yang ada pada masa itu.  kalau nak tambah tak sempat.  jadi, berbaloikah mendapat rezeki secara begini?  mana amanah yang diberikan majikan?

bayangkan kalau kita mempunyai syarikat sendiri, orang sebeginikah yang kita hendak bekerja di syarikat kita?

kerja asal siap.

sikap suka bertangguh, menjadikan mereka semakin parah.  ya lah, hari ini aku bertangguh, siap lambatpun bos tak pertikaikan kerana macam-macam alasan diberi.  hampir munasabah.  jadi, nak tegurpun agak sukar.

ada pula yang boleh ditegur, tapi, tak berani nak dibangkitkan.

saya mengingatkan diri saya, peganglah amanah Allah.  rakan-rakan sekerja, bekerjalah bersungguh-sungguh.  jadikan diri sebagai contoh pemimpin.  jika kita memberi contoh yang baik, orang bawahan kitapun akan jadi baik, kalau kita beri contoh yang kurang baik... lama-lama mereka terikut dan akhirnya, kita juga yang akan menanggung akibatnya.

fikir-fikirkan.

Sunday, January 8, 2012

ditertawakan rakan apabila saya membacakan padanya doa solat dhuha

satu pagi, saya dan teman bercerita mengenai rezeki.  mengenai tanggungan kami.  mana nak bayar pinjaman rumah, kereta dan bil-bil lain.

tujuan saya di sini bukanlah nak katakan saya bijak mengurus wang. gaji banyak.  tidak.  cuma dalam beberapa situasi.  balik-balik perkara ini menjadi perbualan kami.  dengan ilmu agama yang sedikit dan saya dapat daripada beberapa ustaz dan ustazah...saya terpanggil untuk berkongsi dengannya.

ya, teman saya yang seorang ini agak memerlukan wang.  saya tahu dia berjimat demi memastikan keluarganya tidak kekurangan.

setelah beberapa lama, terlintas di hati saya untuk memberi rahsia agar rezeki selalu murah.  jadi, saya menyuruh dia kalau ada masa buatlah solat dhuha.  dia bertanya kepada saya, solat dhuha tu apa?  untuk apa?

terdiam saya.  bukan apa, umurnya hampir 40 tahun, tapi, dia seolah-olah tidak pernah mendengar apa itu solat dhuha.

sayapun memberikan panduan, buatlah solat dhuha paling awal setengah jam selepas waktu subuh dan paling akhir sebelum masuk waktu zohor.

dia bertanya cara mengerjakannya.  dengan ilmu yang sedikit saya ada, saya memberitahunya, buatlah dua rakaat.  rakaat pertama selepas al fatihah bacalah apa-apa ayat yang dia tahu ataupun paling mudah seperti solat sunat lain, baca al kafirun dan rakaat kedua selepas al fatihah bacalah al ikhlas.

boleh buat 2 rakaat atau seberapa nak, tapi Rasulullah sullullahu 'alaihiwassalam buat hingga 12, kalau larat.

lepas salam, bacalah doa dhuha.  sedap, cantik ayatnya.  ujar saya lagi...tapi, versi sayalah, kalau nak yang lebih baik, kena carilah, baca buku agama.  ujar saya.

'ya Allah, waktu dhuha adalah waktu dhuhaMu
kecantikan ini adalah kecantikanMu
keindahan ini adalah keindahanMu
kekayaan ini adalah kekayaanMu
kekuasaan ini adalah kekuasaanMu
kekuatan ini adalah kekuatanMu

sebelum saya sempat menyambung, dia mentertawakan saya, seolah-olah terlalu lucu.

tidak senang dengan sikap dia, saya bertanya tak pernah dengar ke?  dia menggeleng sambil cuba menahan ketawa.

kesian saya padanya.  dia boleh gelak dengan doa yang begitu indah.

saya sambung lagi,

Ya Rabb, jika rezekiku di atas Kau turunkanlah untukku
Jika rezekiku di bawah, Kau naikkanlah kepadaku (pada masa yang sama dia menahan ketawa)
Jika rezekiku di laut, Kau keluarkanlah untukku
Jika rezekiku jauh, Kau dekatkanlah untukku
Jika rezekiku lambat Kau cepatkanlah untukku
Jika rezekiku sedikit Kau banyakkanlah untukku
Jika rezekiku haram, Kau sucikanlah untukku
Berkat waktu dhuha, keindahan, kecantikan, kekayaan, kekuasaan serta kekuatanMu, kurniakanlan padaku rezeki yang melimpah ruah.

nak tahu bagaimana reaksinya?  tersengih-sengih sebab dia rasa lucu dengan doa itu.  riak mukanya membuat saya geram.  tapi saya tahan sabar, sebab saya tahu untuk memberi ilmu yang sedikit saya tahu kepada seseorang bukan mudah, banyak cabarannya.

di sini saya tidak marah, tetapi, saya kasihan kepadanya.

kata saya kepadanya, cubalah.  insyaallah Allah akan mudahkan rezeki kita.  tapi ingat, rezeki kita bukan duit, ia dalam bentuk macam-macam, kesihatan, rasa lapang dada, orang suka dan macam-macam lagi.

tapi itulah ikut hati memang nak tegur sikapnya.  namun, saya perlu sabar.  kerana kekurangan ilmu agama dimilikinya membuatkan dia bersikap begitu.

saya mengingatkan diri saya agar jangan berputus asa dan saya perlu ikhlas mengerjakan ibadah.

Ya Allah, berikanlah aku hidayahMu,  lindungilah aku daripada syaitan yang direjam.  peliharalah diriku agar tidak terpesong.

Ya Allah dengan kebesaran WajahMu dan KerajaanMu, berikanlah aku kemudahan, petunjuk, hidayah dan segala yang baik untukku.