Friday, November 26, 2010

akhirnya

10 zulhijjah
pukul 1.30 petang, 10 zulhijjah, aku dapat balik ke kampung juga.  aku singgah sebentar di 'office' untuk mengambil kak ani yang menumpang keretaku.

ingat ke kat 'office' dapatla merasa ketupat rendang, tapi...hampeh. takdakpun.

lepas je r & r tapah, kak ani bertanya padaku, "tak nak berhenti ke, regang kaki ka, rehat kejap ka?".  aku yang terbiasa memandu tanpa singgah lama-lama di hentian sepanjang lebuhraya, selamba je menjawab, "dak kot, tak pulak rasa letih, saya tak kisah...kak ani nak berhenti ke?".  dia menjawab soalanku, "kak ani tak kisah, kalau hajar nak berhenti, bolehla, kot kot nak beli buah ka." 

aku bukannya apa, cuma tak rasa ngantuk sangat.  sebelum tu bila memandu sendirian ada la jugak berhenti ke satu atau dua hentian untuk tidur sebentar, maklumlah letih.  tapi, kali ni lain sikit, ada peneman. jadi taklah ngantuk.

bagaiamanapun seolah faham dengan pertanyaan kak ani, aku pun berhenti di r & r sungai perak.  lama sungguh aku tidak singgah di sini sejak ia dibuka semula selepas menaiktaraf hentian ini.

setelah dapat 'parking', aku dengan kak ani pun menaiki tangga ke gerai buah-buahan.  lucunya bila kak ani merungut, "la awat 'escalator' ni tak gerak? yang patut gerak 'escalator' naik bukannya yang turun." selamba je kak ani bertanya kepada pengawal keselamatan yang kebetulan berada di situ.

aku pulak dah sampai ke atas sambil meninjau-ninjau gerai di kiri kanan kami.  tiba-tiba kami terus melangkah ke gerai di hadapan kami yang penuh dengan buah belimbing, pelam pelbagai jenis, dokong, jambu air, jambu batu dan beberapa lagi buah-buahan lain.

tiba-tiba kak ani mempercepatkan langkahnya dan terus menuju ke arah tergantungnya buah jambu 'bol' yang hampir pupus.  sambil memegang buah tersebut, dia terus berkata kepada penjual buah, "saya nak beli buah ni lah...lama betui tak makan buah jambu ni..." sambil membelek-belek buah jambu 'bol' kak ani sambung lagi..."eh awat pelik sangat buah ni? ringan semacam?" kak ani terus meraba dan memegang buah tersebut.

aku pulak yang tersangat berkenan nak membeli buah tersebut terus berkata, " la...kak ani...perasan tak buah ni sebenarnya buah plastik?". "la...awat tipu kami...saya nak jugak buah ni, awat gantung buah plastik ni, ingat ke buah betul...sampai hati" sambil disambut gelak ketawa penjual buah tersebut mereka menjelaskan yang buah jambu 'bol' tu memang tak ada.  lagipun memang tak pernah dijual. yang tergantung di penjuru gerai tu pun hanyalah replika buah itu.

setelah diberi rasa potongan beberapa jenis buah, kamipun membeli buah untuk dibawa pulang.  aku terus memilih buah kaya.  besar betul.  seingat aku,  masa kecil aku makan buah yang paling besarpun sebesar buah oren aje.  tapi, kali ni ia memang besar, sebesar buah limau gedang. daripada nak beli sebiji, aku terjebak beli 3 biji sebab nak beli untuk mak.  kak ani pun membeli beberapa jenis buah-buahan di situ.

12 zulhijjah
sesudah subuh dalam 6.30 pagi je kami terus ke kampung 'gajah merangkak' yang terletak di kulim.  (agaknyalah, yang aku tau kami perlu melalui pekan padang serai.)

masa untuk menyembelih lembu pun tiba.  ustaz tah apa ke namanya, lupa la pulak.  terus membaca doa kemudian bertakbir dan menyembelih haiwan korban kami.  "ha jawab takbir...tengok darah yang mengalir ni"  aku pulak hampir la nak menitis air mata.  terasa hiba pulak.  tapi, sempat lagi amek gambar proses menyembelih tu sampai le ke lapah.

setelah memotong dan menimbang daging korban, abang kedua ku terus 'menuntut janji' supaya aku masak nasi mandi.  alamak...aku cadang je hari sebelumnya, bukan nak masak betul-betul pun.  tapi, tah kenapa mulut ni pulak gatal menjawab, "ok, no problem."  dia dan kakak iparku dengan bersemangatnya menawar diri untuk ke kedai beli bahan-bahan untuk dimasak.  aku pun 'check' le kat dapur ada tak bahan rempah untuk dimasak nasi.  cuma yang takde limau kering, daun bay/salam dan zafaran.

dalam kepala gabra la jugak...camana nak masak nasi mandi ni, dah la tak pernah masak...ni nak kena masak banyak la pulak. tapi, agaknya aku ni ego kot... aku teruskan je... beras basmati 5 kilo, aku sukat setengah je, mungkin dalam 2 kilo lebih aku masak.  tapi, kakak ipar aku yang sukat air rebusan daging untuk ku. 

"cukup ke air untuk masak ni? tak ke kurang?" tanyaku pada kak timah.  "dak kot, jangan bubuh banyak sangat satgi lembik" jawab kak timah.  aku pulak ngangguk.  tapi, dalam hati was was ada le... aku teruskan juga.  dengan bacaan bismillah dan selawat aku pun tumis dan masukkan beras dalam periuk besar.  bila aku tengok ke dalam periuk tu, terdetik hatiku. "macam ayaq sikit ja"

bila aku bukak periuk untuk mengacau, air dah kering tapi beras setengah masak je. "kak timah, kena tambah air lagi la..macam mentah je" kak timah pun berikan sekole air daging sambil memesan.  "jangan bubuh semua satgi lembik pulak" emm...dah terlambah aku curah je air daging sampai habis...

aku kacau lagi, alamak macam mentah lagi. kakak ipar kepada kak timah terus beri petua untuk letakkan secawan air di tengah periuk dan tutup ketat-ketat periuk tu supaya nasi mentah masak.  walaupun aku tak yakin, maklumla aku ni nak je tambah air daging lagi...bagi aku, memang kena masukkan sekole besar air supaya masak.  tapi, ditegah kakak ipar kepada kak timah, katanya tak payah, nanti masakla nasi tu. setelah daun pisang diletak atas periuk dan ditutup dengan tudung, ditindih pulak dengan lesung batu, mereka menyoalku bertubi tubi.

nasi mandi ni macam nasi beriani ka? nasi arab ke? nasi hujan panas ke?  aku jawab, bukan, bukan, bukan...ni lain sikit.

nasi mandi ni sebenarnya berasal dari yaman.  orang arab yaman ni masak mandhi dengan mengorek lubang pada tanah, bahagian bawah sekali kayu api, lepas tu diletakkan periuk berisi beras dan di atas periuk tu pulak, daging kambing atau ayam yang dimasak secara menggantung di bahagian paling atas periuk tu, kemudian barulah ditutup.  jadi, air atau jus daripada daging ayam atau kambing akan menitis pada nasi...(aku kira jus daging ni la menyedapkan lagi nasi mandi)

sambung ku lagi, "kita buat cara kita sudah la...takkan nak korek tanah, tak sempat dah...lagipun ni nak cuba je...).  "habih tu nak makan dengan apa? dalca ka" tanya kak iparku. "eh dak lah kita makan ja dengan daging rebus tu, cicah dengan air asam tomato...tu ja...tak payah nak masak lauk lain dah...ikutkan kena panggan ayam atau kambing...ni nak panggan daging korban tak dan dah...kita buat 'simple' je.

tetiba je...aku bagi idea...eh...'confident' betul....padahal dalam hati gabra...

sup daging dah dihidang.  bila aku nak cedok nasi je...aku dah tau...alamak..nasi mentah lagi...tapi apa nak buat...depa kata ok je...(amboi dalam hatiku sempat membebel..."tu la jangan dok harap kat orang...kalau masak sendiri, buat la sendiri tok sah dok ikut cakap orang." 

bahagian paling 'best'.  air asam tomato sedap sangat tapi....pedas gila.  sup daging aka sup tulang...memang terbaik punya, tapi, daging liat lagi.  nasi mandi...camana?  alahai...anak-anak saudaraku tambah nasi, semua orang tambah nasi, depa kata sedap sangat walaupun....walaupun...walaupun mentah... la sikit.   aku je tak tambah...sebab aku makan dengan kuah sup dan air asam tomata tanpa daging...bukan apa, tak termakan...daging tu liat bebenor...kesian...

'result'nya... aku berjaya masak nasi mandi dan ramai memuji...habis seperiuk...walaupun serba kekurangan...kurang masak..heheheh...

'morale of the story is' ....memang dah lama nak masak nasi madhi ni sendiri..akhirnya berjaya....'next time' nak masak lagi tak?  tengoklah dulu...'next time' akan buat macamana orang Arab buat, korek tanah le... tapi, sanggupkah aku?

oh ya part paling best...hari ahad dalam metro aku dah lupa suratkhabar yang mana satu...keluar pula rencana restoran yang ada nasi mandhi...eh...cam tau tau je...

Wednesday, November 24, 2010

itu bukan salahku...

Muhasabahlah diri…
Apakah perasaan seseorang, apabila kesalahan orang lain dituding kepada  anda?  Dengan bahasa mudah, anda dituduh aka difitnah?  Itulah yang pernah teman saya alami.
Lepas cuti hari raya, memang le saya berjumpa dengan rakan-rakan.  Dari satu kisah kami ke satu kisah lain, mengimbas kembali nostalgia lama.  Biasa le semuanya jadi kisah paling indah.  Tah kenapa tetiba teman baik saya si KT – kena tuduh, sebabnya ikutilah kisahnya.
Satu hari, teman saya dipanggil secara tiba-tiba oleh ketuanya.  Dia dituduh membawa mulut mengenai  rakan sekerja lain yang mempunyai masalah rumahtangga.  Dia cuma diberi peluang untuk menjelaskan perkara yang berlaku dan tanpa melakukan keadilan  yang sewajarnya, rakan saya dituduh menyebarkan masalah rakan sekerjanya kepada orang lain. 
Aneh betul, ketuanya memberi alasan rapuh.  Dia diminta untuk meminta maaf kepada rakan setugasnya yang bermasalah dengan alasan dia lebih senior… wajarkah?  Waima apapun, dia tahu, dia tidak akan dibela ketuanya memandangkan pengalaman bekerja di bawahnya beberapa tahun.  Dia bukanlah ‘favourite’ .
Pada hal kisah sebenarnya rakan setugas lain yang membawa kisah rumahtangga tersebut kepada rakan yang lain.  Oleh kerana menghormati ketuanya dia akur.  Tapi, dalam hati, dia berikrar akan mencari siapakah yang bersalah, dia atau orang lain? Yang penting, yang benar tetap benar.
Setelah beberapa kali menghubungi rakan setugas yang bermasalah tersebut, tahulah rakan saya, bukan dia puncanya.  Tetapi rakan lain yang membawa mulut dan kita panggil je si Ada.  Ada ni memang dari dulu suka mencari pasal dengan orang lain.  Teman yang bemasalah ini, kita panggil je si Bedah. dia seorang yang baik dan tidak mengganggu orang lain.  Malangnya kisah peribadi di pejabat rakan saya si KT (kena tuduh) ini sentiasa kecoh dengan mulut-mulut yang tidak ada insuran.
Kisah sebenarnya yang menyebabkan  si KT ni kena tuduh, satu hari si  KT ni, terbacalah medium media yang mengkuis sedikit sebanyak rahsia rumahtangga si Bedah.  Jadi, tanpa disedari si KT ni geramkan  bekas pasangan si Bedah ni, diapun ajuklah cara si x Bedah ni  berbahasa dengan pasangan barunya.  Kisah ni cuma 3 oran je yang tahu dan si KT ni tahu benar siapa. Biasala benda kecik, si KT pun dah lupakan halt u. Tiga hari je si KT ni memberi isyarat kepada 2 orang rakan setugas lain maklumlah si KT ni sibuk nak buang masa dengan gosip tak bawa untung tu.
Tah apa musibahnya, si KT satu hari dipanggil ketuanya.  Cara ketuanya panggil dia dah tahu, ia bukan berita baik.  Ketuanya pun soal le apa yang patut dan si KT ni pun teranglah dengan jujur apa yang sebenarnya berlaku.  Bagaimanapun, si ketua ni kata…si KT yang salah sebab dia senior jadi dia patut kena minta maaf kepada Bedah.  Si KT secara jujur menjelaskan kepada ketuanya, dia tak pernah bawa mulut, Cuma 3 orang je  yang tahu kisah ni.  Tapi, si ketua tetap kata KT salah.
Bila si KT ni berjumpa dengan si Bedah, sahihlah, terang lagi bersuluh.  Mereka bersemuka dan si KT ni tanya Bedah apa yang berlaku?  Rupanya si Bedah meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila rakan-rakan setugasnya bertanyakan soalan peribadi, siap gelakkan dia dengan masalah rumahtangganya. 
Dari perjumpaan kami, tahulah sebenarnya si Ada yang bawa cerita, siap bukak kemudahan internet tunjukkan lagi kepada rakan lain mengenai masalah Bedah kepada orang lain.…dan yang paling baik sekali, ‘superior’ pun tumpang sekaki.  Dan paling indah sekali, mereka seorang pun tak ‘membela’ si KT ni. 
Malas dengan rakan setugas yang memang benjol. Si KT tetap memohon maaf kepada si Bedah. Si Bedah maafkan.  Tapi, si KT memberitahu perasaannya yang terbuku di hati kenapalah ada manusia yang ‘jahat’?  Si Ada pun berkata, alah mereka tu memang mulut jahat, tambahan pula geng…jadi jangan harap la si KT akan menerima pembelaan walaupun bukan dia puncanya beritah hangit tu tersebar.
Bila si KT dah tahu, dia pun jumpala si superior ni dan memberitahu, dia dah tahu siapa puncanya kisah si Bedah tersebar.  Si superior ni dengan muka selamba bengong, dia tanya siapa?  KT terus jawab si Ada.  Superior ni buat dek je.  Pada hal superior ni dengan anak-anak buahnya yang heboh.  Tapi takpe, si KT ni berkata dalam hati, aku ada Allah, hanya Allah yang tahu siapa benar dan siapa tidak. Mudah-mudahan Allah je yang membalasnya.
Lalu si KT pun muhasabahlah dirinya . Tapi, barang diingat, dia bukan muhasabah sebab ketuanya.  Muhasabahnya disebabkan dia ingatkan ini adalah amaran daripada Allah.  Dari mula dia was was dengan tuduhan ketuanya, dia memang tak lekang daripada teringatkan Allah.  Hanya Allah yang berada diingatannya.  Sejak saat tu selepas solat, KT sentiasa berdoa kepada Allah, jika benar dia yang salah dia redha dengan apa yang berlaku  dan mohon Allah ampuni dosa-dosanya, dan jika benar, dia dianiaya, dia berdoa agar dia dijauhkan dari orang-orang yang memfitnah, dan jika rakan-rakan setugasnya bukan jenis orang yang memfitnah, kekalkanlah dia bekerja bersama mereka.
dia yakin benar dia difitnah.  Katanya lagi, “itu bukan salahku” Dia tahu doa orang difitnah akan makbul segera. Dalam hati, dia bekata, jika benar aku difitnah, pasti doaku akan dimakbulkan Allah dengan segera, tetapi jika memang aku yang salah, aku tetap di sini (bekerja dengan rakan-rakan di daerah lama).
Setiap masa dia berdoa tak kira samada solat wajib atau sunat KT berdoa. “Ya Allah jika benar aku orang yang bersalah,  maka kau ampunilah aku dan aku redha dengan ujian yang bakal aku terima daripada engkau dan aku bertaubat ya Allah, demi Mu ya Allah, aku tidak pernah terniat nak menganiaya dan mengaibkan orang.  Dan jika benar aku sengaja difitnah dan diaibkan  maka Engkau tolonglah aku.  Jika mereka membawa mudarat kepadaku, jauhkan aku daripada mereka jika mereka adalah dalam golongan orang-orang yang memfitnah aku.” Jika aku akan lebih buruk lagi bekerja dengan sekian, sekian si polan, tolonglahlah keluarkan aku dan jika aku yang bersalah dan bukan mereka, Kau kekalkanlah aku di sini.”
Dalam tempoh berdoa tu, si KT memang yakin dia tidak bersalah, tapi dalam pada itu was was la juga, dia fikir mungkin benar dia bersalah. Maklumlah, dia ingat doa dia akan dimakbulkan Allah dalam 2,3 hari je.
Allah memang Maha Mendengar, Maha Besar.  Dalam dua minggu aje, si KT ni ditukarkan ke daerah lain dan persekitaran yang lebih baik.  Doa si KT dimakbul Allah dengan segera.  Memang benar, doa orang teraniaya memang makbul dan bagi kita yang suka memfitnah orang muhasabahlah diri jangan nak munasarawak orang je.. (maksudnya jangan nak tuduh orang je yang salah)  buatlah keputusan yang bijak lagi adil  dan jangan bersikap pilih kasih.
Si KT sampai sekarang di beritahu saya, jika salah seorang kumpulan orang yang menuduhnya kemalangan ke, dia takkan tolong…walaupun di depan mata.  Saya sabarkan dia, saya kata, jangan macam tu, Allah tetap akan balas setiap perbuatan manusia.  Buat apa kita nak berdendam, buat sakit hati dan kotor hati je.  Lebih baik maafkan mereka mudah-mudahan mereka insaf. Mungkin juga  Allah memberi balasan setimpal kepada setiap mereka.  Lambat atau cepat je.
Kepada KT, saya dan juga yang lain-lain.  Allah tidak akan biarkan kita walaupun sedetik.  Setiap dosa dan pahala Allah tetap ambil kira, biarpun sebesar zaraah. Muhasabahlah diri selalu.  Dekatkan diri kita dengan Allah, Allah pasti dekat dengan kita.  Kasihanlah diri kita, jangan berlaku zalim. 
Setiap daripada kita adalah Khalifah. Bertindaklah sewajarnya.  Berlakulah adil.  Hidup ini ibarat roda, Allah bayar tunai.  Kalaupun tak terjadi kepada diri kita, mungkin ia akan dibalas kepada anak-anak atau yang ada pertalian terdekat dengan kita. 
Berhati-hatilah sentiasa. Iblis tidak pernah melepaskan kita daripada tipu dayanya, walaupun sedetik.
Bagi teman saya tu, usah berdendam, biarlah mereka dengan keegoan mereka.   

Tuesday, November 16, 2010

aidil adha

alhamdulillah, akhirnya 4.30 petang tadi dah siap kerja.  penat gila. tak mengantuk tapi mata merah...letih ngadap monitor agaknya.

esok pagi, insyaallah akan balik ke utara.  nampak gayanya malam ni, jalan sesak.  tahu pun daripada rakan setugas yang tersekat di lebuhraya utara selatan.

alangkah bahagianya mereka yang dapat menjalankan ibadah haji.  mudah-mudahan kita juga dapat ikut jejak mereka yang terdahulu.  biarlah kita lakukan ibadah semata-mata kerana Allah dan bukan kerana gelaran.

Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah engkau pada Hari Raya Haji dan sembelihlah (binatang) korbanmu.” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

Friday, November 12, 2010

alhamdulillah..

3 hari berada di Alor Setar yang baru dilanda banjir besar, akhirnya, insyaallah saya akan balik ke KL hari ini. Penggambaran terpaksa disingkatkatkan memandangkan saya perlu menyiapkan tugasan untuk siaran 17 November ini.  Hummmm....ada masa 3 hari untuk siapkan.

Alhamdulillah saya ada rakan setugas yang banyak juga membantu saya mendapatkan 'contact' untuk memudahkan saya merakamkan visual yang dikehendaki.  Terima kasih Shahnon. 

Semasa masuk ke kawasan kampung yang dilanda banjir ini, terfikir juga saya, kalau saya di tempat mereka macamana ye?  Simpati saya masih berbaki lagi.  Alhamdulillah sebelum sampai ke Alor Setar, saya bersedia membuat perancangan jika mangsa enggan ditemubual apa yang patut dilakukan.  Tambahan pula bila sampai ke IPD Kota Setar, pihak berkuasa berkali-kali mengingatkan saya, salah seorang mangsa yang masih kehilangan anak enggan ditemubual.  Saya nekad mengajak Zakiah untuk menghampiri mereka.  Tetapi, hari pertama mereka tiada di khemah.  Namun saya tidak berputus asa...teruskan juga niat untuk menyiapkan tugasan.

Semalam semasa penggambaran di Perlis, tetiba wartawan TV9 menghampiri saya, bertanyakan tugasan yang saya nak buat.  Saya menerangkan saya lebih menumpukan tugasan kepada keluarga korban banjir.  Terus mereka minta no telefon mangsa korban.  Dalam hati berkira-kira, nak bagi ke tak nak.  Tak pe lah bagi je, sebab saya bertugas kerana Allah dan buat apa saya nak kedekut, kerana saya dah tahu dan bersedia untuk kisah korban banjir.  Mungkin mereka tidak bersedia.  Kalau dah bersedia dari KL lagi mereka dah tahu apa  nak buat dan dengan siapa nak deal. Patut tahu berapa orang terkorban di mana dan siapa mereka boleh dapatkan maklumat.   Ni minta terus je dari saya, senang kerja... Bijak! Mungkin baru tahu 'story' korban mangsa banjir lebih menarik. Sebab senang je minta dari saya, 'kak boleh bagi  nombor mangsa banjir tak?  siapa ye?  kami tak ada no.  Kesiaaaaaaaaaaaaaannnnnnnnnnnnnnnnn

Banyak dugaan semasa shooting ni.  Setiap orang mungkin ada cara tersendiri.  'Cameraman' dari awal sampai ke Alor Setar sampailah nak balik...telefon di tangan mengalahkan Perdana Menteri...Hishhh...mudah-mudahan visual cantik dan boleh edit....Kalau idak...'confirm' saya nak ngamuk.  Tunggu je balik KL ni. hehehe

Tinggal satu aktiviti je lagi nak siapkan lepas solat Jumaat ni dan lagi satu...mudah-mudahan semua beres. Visual cantik.

Monday, November 8, 2010

Allah Maha Pengampun

Anas r.a. berkata, saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:  Allah s.w.t. berfirman:  Hai anak Adam, sesungguhnya selama kau berdoa dan mengharap kepadaKu, pasti Aku ampunkan bagimu apa yang telah lalu daripadamu, dan tidak Aku hiraukan berapa banyak dosamu.  Hai anak Adam, andaikan dosa telah sampai ke langit, kemudian kau minta ampun kepadaKu, Aku ampunkan bagimu.  Hai anak Adam andaikan kau datang kepadaKu dengan sepenuh bumi dosamu, tetapi kau menghadap kepadaKu dalam hal tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu yang lain, nescaya Aku akan memberi engkau pengampunan sepenuh bumi itu pula. (HR At-Termizi)

Sunday, November 7, 2010

berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu

"Firman Allah Dalam Surah Ghafir Ayat Ke-60... maksudnya"

"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina"

Setiap daripada kita pasti pernah berdoa.  Tak kira samada kita berada dalam kesusahan atau kesenangan.  Tapi, kebanyakan daripada kita hanya berdoa ketika menghadapi kesulitan.  Segelintir sahaja yang berdoa kepada Allah ketika senang.

Allah s.w.t tidak pernah memungkiri janjiNya.  Doa kita pasti dimakbulkan Allah tanpa tertinggal satupun.  Sabar.  Allah mempekenankan doa kita pelbagai cara. 

Jangan sekali-kali bersangka buruk dengan Allah.  Berdoalah secara istiqamah, sabar, khusyuk dan ikhlas.

Sejak dua minggu lalu, saya asyik terserempak dengan ayat daripada surah al-ghafur : 60 ini.  Bagi saya, ia adalah mesej daripada Allah.  Saya tahu.  Tapi, tak perlulah saya terangkan di sini, takut riak pula. 

Saya pernah mendengar keluhan daripada sahabat, serta insan-insan yang diuji Allah.  Mudahnya mereka menuduh Allah tidak memakbulkan doa mereka.  Mereka mudah sahaja menganggap ujian yang menimpa mereka itu tanda Allah melupakan mereka.

Kesal dengan fikiran negatif tersebut, saya menyatakan ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-hambanya dengan memberikan ujian yang mampu mereka tanggung.  Juga ia sebahagian daripada kasih sayang Allah untuk mengangkat darjat mereka.

Saya cuma mampu memberi contoh untuk mereka fahami.  Ketika bertugas, ada juga keluarga yang saya kunjungi, tidak mementingkan solat sebagai ibadah utama.  Untuk menegur pula, siapalah saya?  Saya bukan ustazah atau insan berilmu tinggi dalam agama.  Sayapun jahil.  Cuma apabila saya mengakhiri kunjungan, perbualan atau penggambaran, saya mampu menasihatkan, jangan tinggal solat ya.  Kena dekatkan diri kita dengan Dia.  Sentiasa berdoa kepada Allah, insyaallah Allah makbulkan, cuma cepat atau lambat atau dalam bentuk lain aje.  Kadang-kadang tu, Allah simpan untuk akhirat...biasalah kita ni manusia...manusia yang sentiasa buat salah, terutama dengan Allah.  Tapi, Allah Maha Pengasih dan Penyayang, Dia Maha Pengampun...

insyaallah bersambung lagi...topik ini...





Friday, November 5, 2010

kepercayaan karut

semalam, di kantin saya nak pesan air. pembancuh air beritahu, dia menghidap sakit mata, dia minta saya  jawab balik.  pelik dengan permintaannya, saya bertanya lagi, "so?  apa masalahnya?"  dia ulang lagi ayatnya tu...saya jawab lagi, "ada masalah ke?".   katanya sehari sebelum tu, ada orang bila nampak mata dia yang merah tu, terus insan tu melontarkan perkataan,  " awak sakit mata, saya sakit bontot". 

Rupanya dia tersalah orang.  Pelik betul orang yang terlalu percaya dengan 'taboo' merepek ni.  ada ke kalau cakap macam tu dia fikir dia tak akan dijangkiti.  siapa la guru yang mengajar dia tu.  saya jawab je, "kalau nak berjangkit, bukan melalui pandang kat mata mesti orang tu akan terjangkit sakit mata juga, tetapi kalau dia gosok mata dan tangannya tak berbasuh dan dia terus buat air bagi orang minum, barulah berjangkit. 

Memang kejadian sebegini selalu terjadi.  Entah mana petua dia orang dapat.  orang yang mempercayai tabu tu bagi saya, keterlaluan.  bayangkan di khalayak ramai dia memalukan orang.  apa la. agak-agak la... kalau kena kat diri dia pulak, apa dia rasa?

saya dah terserempak dengan ramai yang sakit mata, saya pandang je, alhamdulillah tak berjangkit.  tetapi, kalau saya tersentuh barang atau makan minum yang juga disentuh pesakit tu...maka berjangkitlah juga...

mungkin ada yang marah dengan kenyataan saya, tapi logik akal...ye ke?  macam ni lah, tepuk dada tanya hati tanya akal.

Thursday, November 4, 2010

teringat tok...

tetiba teringat pulak kat tok (nenek).  dulu semasa dia masih hidup, saya pernah tinggal di rumah tok kat pulai, baling, kedah.  dia rajin membersihkan belakang halaman rumah.  pokok rambutan..ada la dalam lima pokok, itu rambutan lekang...tapi, yang paling mendapat tempat di hati saya, rambutan masam.  buah masam ni bila dah masak ranum...manis la pulak. 

bila musim rambutan, orang semua kalut ambik buah kat pokok yang buah lekang. mana taknya, isinya manis sangat, tebal dan tak payah susah-susah nak kupas kulit.  saya pula leka kat rambutan masam, selalu kena gelak, tapi ada saya kisah?  yang penting..rasanya masam-masam manis...

semasa hidupnya, tok pernah kena patuk ular kapak malas 2 atau 3 kali.  saya pernah cari pokok kancing baju untuk bagi dia minum pati dan sapu hampas daun tu kat kaki.  dia kata sejuk je rasa kat kawasan bengkak tu. doktor pun terkejut sebab cepat benar dia sembuh.

ok, berbalik dia dok tebas rumput lalang kat belakang laman tu, satu hari, saya tengok la dia dok gali lubang besar.  saya tanya la, "tok, tok nak buat apa ni?", dia jawab, "nak tanam pokok durian."

saya pulak masa tu betul bendul, saya tanya lagi.  "tok, buat apa tok tanam pokok durian ni?".  dia pun terus berhenti menggali dan memandang saya.  " la...nak makan la, hish...kacau betul." bebel tok lagi. tak puas hati dengan jawapan tok, saya tanya lagi, " tok, agak-agak sempat ka tok makan buah ni?, pokok kecik lagi".  dengan nada keras sikit  sambil memandang saya, "kalau aku tak dan makan pun, hampa kan boleh makan, bukannya aku tanam pokok ni untuk aku sorang, aku tanam semua kat sini untuk hampa la...?".  terus sepupu saya dalam dua tiga orang ketawa terbahak-bahak dengan kejadian tu.

mujurla mood tok saya hari tu kira ok la...kalau tak...susah la juga nak bersembang...

al fatihah je yang mampu saya hadiahkan.

Wednesday, November 3, 2010

hari pertama

hehe...nak tergelak pun ada.  bukan apa, masa dok tengah 'create' blog ni, dah ada 2 orang singgah mai.  sapa tu ha?  masa tu takdak apa-apa lagi. apapun nak ucap terima kasih pada pija aka kacang, ada cerita pasai apa kami panggil dia kacang...dia tu budak trainee aka junior saya. 

dulu pasai nak ada blog ni memang la saya tak minat, bukan apa, takut tersalah tulih, tersalah bahasa, satgi orang sangka apa pula.  manusia ni kan 'sensitif'.  tu termasuk saya la tu. 

apa yang menarik hari ni? ha...teringat la kisah masa pi ke yogja taun 2008 kalau tak salah la, saya pi sana dengan  chik in, yong dan nora.  pi melancong...tempah tiket kapai terbang asing, hotel pun tempah cari kat internet.  boleh la...kira murah sikit. 

macam-macam kenangan manih kat situ, termasuk la...nak murah masuk ke candi borobudur punya pasai...kami semua menyamar....ha nak tau menyamar yang macamana...tunggu la...sambungannya....